BESUT: Strategi seorang peniaga mengeluarkan modal RM23,000 demi mendapatkan dua tapak di Bazar Ramadan Kampung Raja di sini, berbaloi apabila air balang dijualnya laris bagai pisang goreng panas.
Arsyalieza Arsyad, 42, berkata, kedua-dua tapak bazar itu diperoleh hasil bidaan pada 20 Januari lalu melalui Majlis Daerah Besut (MDB) .
Katanya, dia bertekad mendapatkan tapak itu sebaik sahaja membeli borang bazar Ramadan yang dijual oleh MDB pada 29 Disember tahun lepas walaupun sebelum ini tidak pernah mengambil bahagian berniaga di lokasi tersebut.
“Saya menyediakan wang berjumlah RM30,000 untuk masuk bidaan dan tidak sangka perlu berlawan dengan peniaga yang sebelum ini saban tahun berniaga di situ.
“Tahun lalu, satu tapak bazar tersebut dibida sehingga RM6,000 sahaja tetapi tahun ini saya ‘lawan’ yang mana tapak pertama saya dapat pada harga RM10,000 manakala tapak kedua RM13,000,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Kampung Raja.
Menurut Arsyalieza, selain lima tapak utama yang dibida peniaga, harga tapak-tapak lain adalah sekitar RM1,000.
Katanya, dia tidak mengetahui bahawa bidaan tertinggi itu tular dalam media sosial sehingga memberi kesan positif terhadap perniagaan air balang yang diusahakan sejak 17 tahun lalu.
Ujarnya, walaupun baru pertama kali mengambil bahagian di Bazar Ramadan Kampung Raja, penangan tular menyebabkan ramai pelanggan mencari dan ingin mencuba air balang jualannya.
“Sejak hari pertama Ramadan, saya dan tujuh pekerja tidak menang tangan melayan pelanggan yang tidak putus-putus.
“Pada mulanya saya menjual 15 jenis air balang pelbagai perisa namun permintaan tinggi pada hari pertama Ramadan menyebabkan saya menambah enam lagi tong air bagi menampung keperluan orang ramai. Namun ia belum mencukupi,” katanya.
Menurut Arsyalieza, dia menjangkakan modal yang dikeluarkan untuk mendapatkan dua tapak berkenaan mampu diperoleh kembali dalam tempoh seminggu apabila melihat jualan mencecah ribuan ringgit sehari.
Selain bazar Ramadan Kampung Raja, dia juga mengambil satu lagi tapak di lokasi berbeza iaitu di bazar Ramadan Bukit Kenak dan menetapkan target jualan mencecah lebih RM150,000 sepanjang Ramadan. – UTUSAN










