GENTING HIGHLANDS: Dokumen yang dikemukakan oleh tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung dakwaan membabitkan seorang bekas menteri perlu diteliti dahulu sebelum kertas siasatan dibuka.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pihaknya ketika ini baru sahaja menerima aduan berkenaan dan memerlukan masa untuk membuat semakan terlebih dahulu.
Beliau menegaskan, keutamaan ketika ini adalah untuk menyemak dokumen berkenaan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
“Tiga NGO hadir ke SPRM untuk membuat aduan. Saya boleh sahkan bahawa kita telah menerima aduan tersebut.
“Secara asasnya, sebaik sahaja aduan diterima, kita akan meneliti sama ada terdapat unsur rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan kita juga akan melihat aspek tadbir urus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Kewartawanan di sini hari ini.
Ahmad Khusairi berkata, pihak media perlu memberi ruang kepada SPRM untuk meneliti dokumen yang telah dikemukakan sebelum agensi itu mengambil sebarang tindakan lanjut.
“Kita akan menyiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan,” katanya.
Semalam, media melaporkan dakwaan penyelewengan pelaburan berjumlah kira-kira RM1.11 bilion yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kanan di sebuah kementerian kini dalam penelitian SPRM.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengesahkan menerima laporan berkaitan dakwaan penyelewengan pelaburan itu.
Katanya, laporan itu diterima daripada gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada kira-kira pukul 2 petang semalam. – UTUSAN










