Bas ekspres langgar belakang treler sebelum terbabas

Bas ekspres langgar belakang treler sebelum terbabas

KEADAAN kemalangan membabitkan bas ekspres dan dua buah lori di Kilometer 433 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, di Hulu Selangor awal pagi tadi.-GAMBAR/IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan awal polis mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 433.0 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi tadi berlaku apabila bas ekspres yang berada di lorong kiri melanggar bahagian belakang sebuah treler.

Susulan itu, polis menerima maklumat kejadian itu kira-kira pukul 5.30 pagi melalui Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, bas ekspres yang dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kuala Lumpur dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah treler, menyebabkan kenderaan berat itu terbabas ke lorong kanan.

Katanya, sebuah lori yang berada di lorong kiri cuba mengelak bas terbabit sebelum melanggar bahagian belakang treler yang melintang di lorong tengah dan kanan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu lori disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba.

“Sementara itu, pemandu bas, pemandu treler, kelindan lori serta lima penumpang bas yang mengalami kecederaan ringan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, seramai 22 penumpang bas lain tidak mengalami kecederaan telah dibawa ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menggunakan bas gantian.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammadi Mt Abu di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN