Banjir Sabah makin buruk: Keselamatan mangsa jadi keutamaan 

Banjir Sabah makin buruk: Keselamatan mangsa jadi keutamaan 

ANGGOTA Pertahanan Awam membantu memindahkan mangsa banjir dari tiga daerah di Sabah, semalam.-IHSAN APM SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua agensi Persekutuan dan negeri digerakkan secara menyeluruh bagi memastikan operasi pemindahan, penyelamatan serta penyaluran bantuan kepada mangsa banjir di Sabah dilaksanakan dengan pantas, tersusun dan berkesan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha kerajaan ketika ini memfokuskan kepada perlindungan mangsa serta pemulihan segera kawasan terjejas, selain memastikan bantuan disalurkan tanpa kelewatan.

“Keutamaan kita adalah keselamatan rakyat, kebajikan mangsa serta pemulihan kawasan terjejas secepat mungkin. Saya mengingatkan semua yang berada di kawasan terbabit agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Saya menyeru rakyat agar terus mendoakan kesejahteraan penduduk di Sabah yang kini berdepan ujian banjir umat Islam menyambut Ramadan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat kepada 4,652 orang daripada 1,769 keluarga setakat pukul 5 petang berbanding 3,685 orang daripada 1,593 keluarga pada pukul 8 pagi semalam.

Berdasarkan laporan kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah, daerah Pitas mencatatkan jumlah peningkatan mangsa banjir tertinggi sebanyak 2,013 orang mangsa banjir dan diikuti Kota Marudu seramai 1,923 orang.

Di Kota Marudu, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) kekal sebanyak empat buah melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2, SMK Tandek, Sekolah Kebangsaan (SK) Taritipan dan SMK Bandau.

Bagi daerah Pitas, jumlah PPS meningkat sebanyak 10 buah melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom, Dewan Majlis Daerah Pitas, Dewan Kusilad, Dewan Kabatasan, SK Salimpodon Darat, SK Pekan II, SK Dandun Dewan Kampung Senaja, Dewan Terbuka Kanibongan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas.

PPS di daerah Paitan meningkat sebanyak 11 buah melibatkan Dewan Binsulung, Masjid Kaindangan, PPS Komuniti Batangon Darat, Dewan Serbaguna Kampung Tangkarason, SK Lubang Buaya, Dewan Kampung Sungai-Sungai, Rumah Pengerusi JKKK Kampung Cocos, SMK Pamol, Balai Raya Kampung Pinampadan dan Kampung Rancangan Cocos.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan, Walter Kenson berkata, hasil pemantauan agensi berkaitan di kawasan terjejas banjir sekitar Kampung Sungai Memanjang mendapati paras air telah menunjukkan situasi penurunan.

“Sehubungan itu, JPBD Sandakan memutuskan bahawa tiada pengisytiharan bencana dibuat dan PPS tidak dibuka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×