'Anak saya mati bukan sebab dibuli’

‘Anak saya mati bukan sebab dibuli’

BEBERAPA anggota ATM dan ahli keluarga mengangkat jasad mendiang Truper K. Indiran ketika tiba di rumah mereka di Sungai Nibong, George Town, Pulau Pinang untuk diberikan penghormatan terakhir, awal pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Ibu anggota tentera yang meninggal dunia semasa sedang mengikuti latihan di Pahang meminta orang ramai tidak membuat spekulasi sendiri dan mengaitkan kejadian itu dengan kes buli.

S. Usha, 52, berkata, dia sendiri pada mulanya turut menganggap anaknya, Truper K. Indiran, 22, itu menjadi mangsa buli, namun, berubah fikiran selepas bedah siasat dijalankan oleh pihak hospital.

Kata wanita itu, hasil bedah siasat mendapati, tiada sebarang kecederaan fizikal dikesan pada tubuh mendiang anaknya, sekali gus menepis spekulasi bahawa anak sulung daripada empat beradik itu dicederakan atau dipukul.’

“Mula-mula memang saya marah apabila dapat tahu perkara ini kerana saya tak dihubungi lebih awal oleh pihak ATM (Angkatan Tentera Malaysia). Saya juga dapat info viral (tular) sana sini mengatakan bahawa anak saya dibuli.

“Semua itu tidak betul. Jangan salahkan ATM. Indiran tidak dibuli, dipukul atau dicederakan sesiapa. Jasad anak saya masih sempurna dan fizikal dia juga masih elok,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Nibong di sini semalam.

Indiran sebelum itu dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri semasa sedang mengikuti kursus ketenteraan di Rejimen Pertama, Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, Kuantan, Pahang, Rabu lalu.

Jasad mendiang Indiran kemudian dibawa pulang ke Pulau Pinang selepas bedah siasat dan dijangka diberi istiadat penghormatan penuh tentera dan disemadikan bersebelahan kubur bapanya di Tanah Perkuburan Hindu Batu Lanchang di sini.

Usha berkata, anaknya itu amat bersemangat untuk menjalani latihan ketenteraan kerana ingin mengikut jejak mendiang bapanya, Mejar C. Kayamboo iaitu juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban akibat nahas pesawat di Pangkalan Udara Butterworth, kira-kira 10 tahun yang lalu. – utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN