PETALING JAYA: Sebanyak 90,000 rekod pengimejan perubatan akan diintegrasikan dalam masa terdekat selaras dengan aspirasi ‘1 Individu, 1 Rekod’ di bawah agenda pendigitalan Kementerian Kesihatan (KKM).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu sebahagian daripada usaha memperkukuh kesinambungan rawatan, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan, mengurangkan pertindihan rawatan serta memastikan akses maklumat yang lebih pantas dan selamat kepada fasiliti kesihatan terlibat.
Katanya, KKM sedang melaksanakan pendigitalan berasaskan pengkomputeran awan di fasiliti kesihatan bagi memperkukuh pengurusan rekod perubatan digital pesakit melalui langganan sistem Electronic Medical Record (EMR).
“Sistem teras EMR mengikut fasiliti kesihatan terdiri daripada Klinik Kesihatan menggunakan Cloud-Based Clinic Management System (CCMS), Klinik Pergigian menggunakan Dental Information System (DIS) dan hospital menggunakan Total Hospital Information System (THIS).
“Pelaksanaan sistem ini merupakan langkah ke arah meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh tadbir urus data serta mengurangkan kebergantungan kepada rekod manual,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai pelan menyeluruh KKM dalam mendigitalkan operasi harian hospital dan klinik kesihatan kerajaan termasuk sistem rekod perubatan elektronik, pengurusan pesakit dan integrasi data serta tahap kolaborasi dan keserasian sistem berkenaan dengan hospital serta klinik swasta di seluruh negara.
Menurut Dzulkefly, pemasangan CCMS bermula pada 2024 dan sehingga akhir 2025 telah merangkumi 412 klinik kesihatan.
Bagi 2026, KKM komited untuk mendigitalkan 137 lagi klinik kesihatan manakala baki 588 klinik kesihatan akan didigitalkan sepenuhnya pada akhir 2027.
Pemasangan DIS pula bermula pada 2024 dan sehingga akhir 2025 melibatkan 120 klinik pergigian. Baki 458 klinik pergigian akan didigitalkan sepenuhnya menjelang akhir 2027.
“Bagi THIS, pemasangan bermula pada 1999 dan sehingga akhir 2025 sebanyak 23 hospital telah dipasang dengan pelbagai produk sistem maklumat hospital.
“Pada 2026, KKM komited untuk mendigitalkan 16 hospital lagi manakala baki 113 hospital akan didigitalkan sepenuhnya pada akhir 2029.
“Pendigitalan menyeluruh fasiliti kesihatan primer disasarkan selesai sepenuhnya pada 2027,” katanya.
Mengulas integrasi data kesihatan nasional, Dzulkefly berkata, KKM giat melaksanakannya melalui aplikasi MySejahtera sebagai platform penyatuan rekod kesihatan rakyat.
Katantya, sehingga kini, sistem itu berjaya mengintegrasikan 30 juta rekod vaksinasi, tujuh juta rekod preskripsi ubat, tiga juta rekod pergigian dan 2.8 juta rekod saringan kesihatan.
“Dalam usaha mewujudkan ekosistem kesihatan holistik merangkumi sektor awam dan swasta, KKM turut melibatkan pengendali fasiliti kesihatan swasta melalui penyeragaman piawaian saling kebolehkendalian menerusi pelaksanaan standard Malaysia Patient Summary di bawah Malaysia Digital Health Certification Network.
“Ia bagi memastikan perkongsian data kesihatan yang selamat dan cekap, selain penglibatan fasiliti kesihatan swasta akan terus diperkukuh melalui program penyeragaman proses kerja dan piawaian saling kebolehkendalian bagi melonjakkan tahap pendigitalan sektor kesihatan negara ke tahap lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










