187,104 tiket ETS disedia sempena Tahun Baharu Cina

187,104 tiket ETS disedia sempena Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan sebanyak 187,104 tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 bagi menampung peningkatan permintaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 55,224 merupakan tiket tambahan dan jumlah itu peningkatan sebanyak 526 peratus berbanding tahun lalu.

“Penambahan kapasiti ini turut disokong dengan kemasukan tiga set ETS3 baharu yang membolehkan sebanyak 16 perjalanan perkhidmatan ETS tambahan disediakan. 

“Penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan operasi meningkat kepada 58 perjalanan sehari sepanjang tempoh perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Edaran Pek Cenderahati kepada penumpang KTMB sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di ibu negara, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi KTMB, Datuk Ahmad Redza Abdullah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan.

Tambah Anthony, dua perjalanan tambahan turut disediakan bagi laluan ke Padang Besar dengan kapasiti sebanyak 5,040 tempat duduk, melibatkan perjalanan bermula 15 hingga 22 Februari ini menggunakan lapan set ETS. 

“Bagi memudahkan orang ramai merancang perjalanan khususnya musim perayaan dan cuti panjang, jualan tiket ETS, KTM Intercity serta Shuttle Tebrau untuk Februari 2026 telah dibuka lebih awal sejak 17 November tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, ketika ini KTMB mengendalikan sebanyak 42 perkhidmatan ETS pergi dan balik serta 49 perkhidmatan KTM Intercity melibatkan Ekspres Rakyat Timuran, Shuttle Timuran dan Shuttle Tebrau bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang.

“Sepanjang tempoh perayaan ini juga, seramai 274 anggota Polis Bantuan KTMB ditempatkan di stesen utama termasuk KL Sentral, Bukit Mertajam, Butterworth, Alor Setar, Arau dan Padang Besar bagi kawalan orang ramai, rondaan cegah jenayah, pemantauan dalam tren serta pengawasan CCTV,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN