KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencatatkan permintaan luar biasa bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila 95 peratus tiket bagi laluan KL Sentral ke JB Sentral habis terjual setakat petang ini.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, KTMB telah menyediakan 36 perkhidmatan tren tambahan sepanjang tempoh 10 hingga 12 Julai bagi memudahkan pergerakan pengundi pulang menunaikan tanggungjawab mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, sambutan luar biasa itu mencerminkan keyakinan berterusan rakyat terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan rel nasional.
Menurut beliau, bagi laluan KL Sentral – Johor Bahru Sentral (JB) – KL Sentral, sebanyak 48 trip perjalanan disediakan merangkumi jumlah seimbang antara trip berjadual dan trip tren tambahan.
“Melalui inisiatif ini, kapasiti tempat duduk berjaya digandakan daripada 7,560 kepada 15,120 tempat duduk secara keseluruhan bagi menampung lonjakan penumpang.
“Setakat jam 4 petang ini, sebanyak 14,304 tempat duduk atau 95 peratus daripada kapasiti tersebut telah berjaya dijual. Malah, hasil tinjauan dan interaksi saya bersama penumpang mendapati sekitar 80 peratus daripada mereka menaiki tren semata-mata untuk pulang mengundi di Johor,” katanya selepas mengadakan Sesi Tinjauan Operasi Tren bersama media di stesen KL Sentral, di sini hari ini.
Azlan Shah berkata, KTMB turut meningkatkan kapasiti laluan domestik di dalam negeri berkenaan bagi memudahkan pergerakan pengundi antarabandar khususnya membabitkan sektor Gemas – JB Sentral – Gemas.
Malah, kapasiti tempat duduk bagi laluan tersebut ditingkatkan secara drastik daripada 630 kepada 4,410 tempat duduk menerusi pertambahan 12 trip perjalanan tambahan.
“Bagi laluan Gemas ke JB Sentral, tiket yang terjual setakat ini adalah sebanyak 2,737 atau 62 peratus, bermakna masih terdapat baki sekitar 40 peratus kekosongan untuk orang ramai.
“Bagi menggalakkan penggunaan rel, kita menawarkan potongan tambang promosi sebanyak 30 peratus untuk laluan Gemas – JB Sentral – Gemas ini,” katanya.
Warga Johor di kawasan sekitar Kulai, Kempas Baru, Johor Bahru, dan Pasir Gudang turut diseru memanfaatkan perkhidmatan Shuttle Selatan.
Kemudahan itu disifatkan sebagai mod perjalanan yang lebih pantas dan selesa ke pusat mengundi, apatah lagi dengan tawaran diskaun tambang promosi sebanyak 50 peratus yang sedang berlangsung ketika ini.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pengurusan KTMB telah menggerakkan kakitangan dan kru tambahan di stesen-stesen utama bagi memastikan kelancaran pergerakan aliran penumpang di samping memberi bantuan khusus kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas. – UTUSAN










