PETALING JAYA: Mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memutuskan pelantikan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Ex-Officio Biro Politik PKR.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat sama turut meluluskan beberapa pelantikan Ex-Officio lain iaitu Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir, Dr. Mohammed Taufiq Johari dan Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid.
Katanya, Datuk Jamawi Ja’afar, Datuk Ruji Ubi dan Datuk Yamani Hafez Musa pula dilantik sebagai Ex-Officio MPP PKR.
“MPP turut memutuskan Kongres Nasional PKR akan berlangsung di Melaka selama empat hari bermula 25 hingga 28 Jun ini.
“Maklumat terperinci mengenai penganjuran kongres berkenaan akan diumumkan oleh Ibu Pejabat Keadilan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi berkata, MPP turut meneliti pelaksanaan ikhtiar terbaharu Kerajaan Madani termasuk Rancangan Pendidikan Negara yang bertujuan menjamin mutu pendidikan lebih baik serta mempersiapkan generasi muda menghadapi cabaran dunia digital.
“Program bantuan rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Jualan Rahmah dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) juga dilihat boleh ditambah baik bagi memastikan isu kos sara hidup rakyat dapat ditangani secara tuntas.
“MPP juga menyokong langkah-langkah membanteras rasuah dan kumpulan kartel bagi memastikan dana rakyat tidak diseleweng untuk kepentingan kelompok tertentu,” katanya.
Pada 30 Mei lalu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO serta menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.
Susulan itu, pada 8 Ogos, beliau dilaporkan mengesahkan telah menyertai parti pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas permohonannya diterima dan kini merupakan ahli PKR Cabang Ampang. – UTUSAN











