Subsidi kesihatan bersasar, penambahbaikan pelan insurans perubatan

Subsidi kesihatan bersasar, penambahbaikan pelan insurans perubatan

PELAN insurans perubatan baharu yang diumumkan kerajaan merupakan satu langkah positif dalam usaha mengekang kenaikan premium insurans perubatan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan wajar mempertimbangkan beberapa langkah penambahbaikan pembiayaan kesihatan termasuk melaksanakan subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah, pesara dan pesakit kronik bagi memastikan akses perlindungan lebih adil.

Yang Dipertua Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health), Dr. Mohd. Afiq Mohd. Nor berkata, langkah itu perlu disokong melalui peluasan projek rintis sedia ada serta diteruskan dengan reformasi menyeluruh sistem pembiayaan kesihatan negara.

Menurutnya, pelan insurans perubatan baharu yang diumumkan kerajaan merupakan satu langkah positif dalam usaha mengekang kenaikan premium insurans perubatan serta memperluas akses perlindungan kesihatan kepada rakyat, khususnya ketika negara berdepan peningkatan kos rawatan akibat inflasi perubatan.

Katanya, pelan perlindungan sehingga umur 85 tahun itu wajar dipuji kerana memberi jaminan penting kepada warga emas yang sering berhadapan kos rawatan tinggi, selain membolehkan pemegang polisi mengekalkan perlindungan berterusan melalui peralihan kepada pelan asas tanpa perlu menjalani penilaian kesihatan baharu.

Namun begitu, beliau berkata, beberapa kebimbangan masih wujud terutamanya melibatkan had umur pendaftaran, kos premium warga emas serta jurang akses antara pelan asas kerajaan dan pelan insurans perubatan swasta.

“Had pendaftaran sehingga umur 70 tahun secara langsung mengecualikan golongan warga emas yang paling memerlukan perlindungan, khususnya mereka yang berusia lanjut dan menghidap penyakit kronik.

“Kos premium bagi warga emas berusia 75 tahun ke atas yang dianggarkan antara RM500 hingga RM780 sebulan berpotensi membebankan pesara yang tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mengingatkan bahawa pelaksanaan sistem dua lapis berisiko mewujudkan jurang ketara antara golongan yang mampu mendapatkan perlindungan insurans swasta lebih menyeluruh dan mereka yang hanya bergantung kepada pelan asas kerajaan.

Keadaan itu, katanya, diburukkan lagi apabila pelaksanaan penuh pelan insurans berkenaan hanya dijadualkan bermula pada 2027, sedangkan rakyat kini memerlukan penyelesaian segera bagi menangani tekanan kos rawatan yang semakin meningkat.

“IKRAM komited untuk terus memantau perkembangan ini dan sedia bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan demi kesejahteraan rakyat serta kelestarian sistem kesihatan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN