SUNGAI PETANI: Orang ramai diminta menyemak cip Mykad masing-masing agar ia berfungsi dengan baik bagi melayakkan mereka mendapat subsidi bersasar RON95 yang dijadual dilaksana hujung bulan ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan subsidi itu memerlukan pengesahan identiti menggunakan MyKad ketika membeli minyak di stesen.
Katanya, keperluan MyKad amat kritikal kerana terdapat lebih dua juta transaksi minyak berlaku setiap hari di lebih 4,000 stesen di seluruh negara.
“Harga RON95 akan turun ke RM1.99 seliter melalui subsidi bersasar ini. Satu perkara penting rakyat Malaysia kena buat ialah periksa MyKad anda dan pastikan cip berfungsi dan elok.
“Kalau cip rosak atau tidak boleh dibaca, jangan risau, boleh terus ke mana-mana pejabat atau kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara,” katanya selepas merasmikan Komuniti Korektif Kampung Angkat Madani Jabatan Penjara Malaysia di Pusat Reintegrasi Penghuni Kuala Muda, di sini, semalam.
Menurutnya, kementerian juga meminta JPN mempermudahkan proses penggantian MyKad rosak dengan tempoh siap sekitar 30 minit bagi mengelakkan kesesakan di kaunter, susulan pelaksanaan subsidi minyak RON95 secara bersasar tidak lama lagi.
Katanya, langkah itu penting kerana MyKad akan menjadi dokumen utama pengesahan rakyat Malaysia sebelum melakukan sebarang pembelian minyak di stesen.
“JPN sedang usahakan proses penggantian MyKad siap dalam masa 30 minit sahaja. Itu perlu dihebahkan supaya orang ramai tidak bimbang,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini merekodkan kira-kira 1,000 kes penggantian MyKad rosak setiap hari, bersamaan 30,000 sebulan atau 360,000 setahun. – UTUSAN









