BUKIT BERUNTUNG: Langkah melaksanakan reformasi yang perlu dilakukan menerusi rundingan dan musyawarah dalam kalangan pimpinan semua parti bukan perkara mudah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal ini kerana setiap pemimpin mempunyai perjuangan dan keutamaan mereka.
Justeru itu katanya, kerangka reformasi di negara ini perlu dilaksanakan secara waras dan bijaksana, bukan secara melulu.
“Kita (perlu) buat perubahan yang dibangkitkan. Tapi soal kaum yang ditakutkan soal (agenda) orang Cina. Dia fikir saluran Malaysia ini masalah sekolah Cina sahaja, tiada isu lain.
“Sesetengah orang India pun begitu. Sebab itu kita harus ajak Melayu, China, India, Sabah, Sarawak boleh bawa isu mereka. Tetapi perlu lihat dalam kerangka besar Malaysia Baharu, barulah boleh negara ini selamat, ” katanya ketika berucap dalam Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di sini hari ini.-UTUSAN










