GEORGE TOWN: Pusat membeli-belah yang akan dibangunkan di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di The Light City, di sini tidak akan menyebabkan berlakunya isu lambakan pusat membeli-belah di Pulau Pinang ketika ini.
Pengarah Pembangunan Jangka Panjang IJM Land Berhad, Datuk Tony Ling Thou Lung selaku pemilik projek berkata, pembangunan pusat membeli-belah itu sebaliknya merupakan sebahagian daripada pembangunan bercampur yang dirancang secara bersepadu.
“Pusat membeli-belah tersebut bukan dibangunkan secara bersendirian. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai pemangkin kepada keseluruhan pembangunan yang merangkumi pusat konvensyen, ruang pejabat dan hotel.
“Ia juga adalah sebahagian daripada pembangunan bersepadu yang diwujudkan untuk menyokong fungsi pusat konvensyen, pejabat dan hotel yang ada di kawasan ini. Bukannya sebagai tambahan kepada lambakan pusat membeli-belah di sini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau mengiringi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam lawatan kerja ke PWCC hari ini. Untuk rekod, PWCC telah dibuka sejak Oktober tahun lalu dan menjelang pertengahan tahun ini, sebuah pusat beli belah, ruang pejabat serta hotel juga akan siap sepenuhnya.
Mengulas lanjut, Tony berkata, isu lambakan pusat membeli-belah bergantung kepada lokasi dan perancangan pembangunan, namun, bagi PWCC pusat membeli-belah itu mempunyai peranan khusus dalam menyediakan kemudahan dan ameniti kepada kawasan sekitarnya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pembukaan PWCC dijangka menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pelancongan dan industri MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran) bukan sahaja di wilayah utara Semenanjung, malah, di peringkat nasional.
“Penambahan pusat konvensyen baharu itu bukan bertujuan merebut peluang sedia ada, sebaliknya, ia bagi menampung permintaan yang semakin meningkat daripada penganjur dan pelancong yang memilih Pulau Pinang sebagai destinasi acara,” ujar beliau. – UTUSAN







