KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili isteri ahli perniagaan, Datin Seri Pamela Ling Yueh, memohon untuk menangguhkan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar waran tangkap dan sekatan perjalanan yang dikenakan terhadapnya, dua tahun lalu.
Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, peguam bela Surendra Ananth berkata, permohonan penangguhan itu dibuat berikutan Pamela masih belum ditemukan.
Peguam itu berkata, tanpa arahan daripada anak guamnya, pihak pembelaan tidak dapat memfailkan dokumen kepada mahkamah.
Sehubungan itu, Hakim Amarjeet Singh menetapkan 21 Mei ini bagi pendengaran permohonan penangguhan prosiding berkenaan.
Pada prosiding tersebut, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Mohd. Faisal Md. Nor.
Pada 19 Mei 2025, Mahkamah Tinggi membenarkan Pamela memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar waran tangkap dan sekatan perjalanan yang dikenakan terhadapnya pada 2024.
Hakim Amarjeet membuat keputusan tersebut selepas mendapati terdapat isu yang boleh dibicarakan dalam kes berkenaan.
Pada 7 April lalu, Pamela, 43, selaku pemohon, memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan SPRM dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Sementara itu, pada 9 April, wanita berkenaan dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dengan menaiki kenderaan perkhidmatan e-panggilan.
Dalam permohonannya, Pamela yang menetap di Singapura sejak 2008 memohon perintah supaya waran tangkap bertarikh 2 Disember 2024 yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru terhadapnya dibatalkan serta-merta.
Ibu kepada tiga anak itu turut memohon deklarasi bahawa responden pertama (SPRM) tidak mempunyai kuasa untuk melarang secara langsung atau tidak langsung seseorang daripada meninggalkan Malaysia kecuali mengikut cara yang diperuntukkan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pemohon juga memohon perintah supaya SPRM memulangkan telefon mudah alihnya dengan serta-merta, selain memohon perintah mandamus terhadap responden kedua untuk membenarkannya meninggalkan Malaysia serta menuntut ganti rugi berjumlah SGD20,401.14 dan RM70,000, selain kos.
Dalam afidavit sokongannya, Pamela mendakwa SPRM tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengarahkan pihak berkuasa imigresen menyekat perjalanannya sejak Oktober 2024 sehingga kini, selain mendakwa tujuan penangkapan, reman dan sekatan perjalanan yang dikenakan terhadapnya adalah untuk memberi tekanan terhadap dirinya. – UTUSAN










