Kes Pamela Ling masih diteruskan

Kes Pamela Ling masih diteruskan

PAMELA LING YUEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap kes kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh pada 9 April lalu, masih diteruskan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia disiasat di bawah Seksyen 356 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik dan melarikan seseorang dengan niat mengurungnya secara sulit tanpa hak.

“Saya boleh katakan (kes) masih dalam siasatan dan kertas siasatan sedang dilengkapkan oleh pegawai penyiasat sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

“Sehingga kini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam keterangan 48 orang saksi termasuk empat pegawai SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang terlibat dalam siasatan kes Pamela,” katanya pada Sesi Penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, polis akan menyiasat setiap laporan kes penculikan atau kehilangan orang mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan peruntukan undang-undang.

Katanya, polis juga memberi kerjasama rapat dengan lain-lain agensi penguatkuasaan termasuk SPRM bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan berkesan.

“Pada masa sama, apabila siasatan dibuat, kerjasama dengan semua agensi berkait (kes) itu akan dilakukan termasuk dengan (Jabatan) Imigresen (Malaysia).

“Seperti kes Pamela, untuk makluman kenderaan yang dikatakan diguna pakai (dalam kes itu, ditemui) jauh di Bukit Kayu Hitam, walaupun kejadiannya berlaku di Putrajaya. Sebab itu mengumpul maklumat di pintu sempadan perlu (termasuk) kerjasama dengan Imigresen,” katanya.

Pada 5 Mei lalu, polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes kehilangan Pamela termasuk dakwaan mangsa dilarikan oleh pihak polis atau individu yang menyamar sebagai pegawai polis semasa dalam perjalanan ke Ibu Pejabat SPRM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN