KUALA LUMPUR: Mahkamah menetapkan 28 Januari depan bagi mendengar keputusan permohonan peguam, Mahajoth Singh untuk mendapatkan kebenaran mahkamah memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mahajoth merupakan peguam bagi ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei Jiann Cheing, 37.
Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, peguam N. Surendran yang mewakili Mahajoth memohon suatu perintah certiorari bagi membatalkan arahan yang dikeluarkan oleh SPRM.
Menurut peguam itu, arahan tersebut menghendaki Mahajoth hadir memberi keterangan dan mengemukakan dokumen serta item berkaitan anak guamnya, Albert di bawah Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(1)(b) Akta SPRM berhubung perintah bertarikh 29 dan 30 November lalu.
Antara item dan dokumen yang dimohon SPRM ialah telefon bimbit milik Albert, dokumen berkaitan pembelian perabot, pakaian dan kamera, serta salinan perbualan WhatsApp antara ahli perniagaan itu dengan beberapa individu lain.
Surendran berhujah, perintah yang dikeluarkan SPRM itu adalah tidak sah, tidak boleh dikuatkuasakan dan merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa berkenaan.
“Pengeluaran perintah itu tidak sah memandangkan dokumen-dokumen dan item yang dipohon SPRM telah diberikan kepada Mahajoth oleh Albert bagi memperoleh nasihat guaman.
“Anak guam saya `terperangkap’ di tengah-tengah kerana jika mematuhi notis SPRM, beliau terdedah kepada perlanggaran Akta Keterangan dan jika notis gagal dipatuhi, beliau terdedah kepada tindakan agensi itu.
“Oleh itu, perintah SPRM tersebut wajar dibatalkan sepenuhnya melalui perintah certiorari oleh mahkamah,” katanya.
Bagaimanapun, Peguam Persekutuan Kanan Shamsul Bolhassan, membantah permohonan itu dengan alasan perintah berkenaan dikeluarkan sebagai sebahagian daripada proses siasatan jenayah yang sedang dijalankan.
“Kami mengemukakan bantaran kerana perintah tersebut tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Alice Loke Yee Ching menetapkan 28 Januari depan bagi menyampaikan keputusan berkaitan permohonan tersebut.
Jika kebenaran diberikan, mahkamah menetapkan tarikh lain bagi mendengar permohonan Badan Peguam Malaysia diwakili Anand Raj untuk bertindak sebagai pencelah dalam semakan kehakiman itu.
Sementara itu, Persatuan Peguam Muslim Malaysia yang diwakili peguam-peguam Muhamad Hisham Marzuki, Muhammad Hariz Md. Yusoff dan Khairul Naim Rafidi turut memohon untuk bertindak sebagai sahabat mahkamah (amicus curiae). – UTUSAN










