PETALING JAYA: Serangan berterusan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa mempunyai satu tujuan jelas iaitu memaksa beliau berundur daripada kepimpinan parti atau dikenali sebagai ‘Muhyiddin Exit’.
Bekas Ketua Setiausaha Politik kepada Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mendakwa, serangan itu bukan sahaja datang daripada rakan gabungan, malah turut melibatkan pemimpin dalam parti sendiri.
Beliau berkata, kedudukan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut disebut sebagai antara tokoh yang berpotensi mendapat manfaat sekiranya Muhyiddin berundur sepenuhnya daripada kepimpinan parti.
“Di dalam parti, Timbalan Presiden yang menurut perlembagaan Pepatutnya membantu Presiden, namun setiap hari menggunakan pelbagai cara untuk menyerang Presiden. Ini adalah rahsia umum.
“Serangan demi serangan sedang rancak dilancarkan, termasuk daripada parti rakan. Perkataan seperti ‘berambus’ dan ‘your time is finished’ sudah keluar tanpa selindung daripada pemimpin Pas,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Marzuki, sindiran kawan makan kawan yang dilemparkan pemimpin Pas terhadap Muhyiddin juga tidak adil memandangkan isu di Perlis berpunca daripada pergolakan dalaman parti itu, namun Presiden Bersatu itu terus dipersalahkan.
Beliau turut mendakwa Hamzah mempunyai nilai politik yang tinggi di mata UMNO, selari dengan seruan Presiden UMNO agar bekas ahli UMNO yang meninggalkan parti itu kembali semula demi penyatuan orang Melayu.
“Dalam senario tertentu, Hamzah berpotensi membubarkan Bersatu dan membawa ahlinya kembali menyertai UMNO,” katanya.
Marzuki berpandangan, situasi itu akan membolehkan UMNO mengukuhkan parti dan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan, GPS dan GRS bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Bersatu akan berkubur dan PAS pula berdepan kekalahan besar pada PRU16.
“Saya bukan bomoh yang boleh meramal, namun pada pandangan saya, kesan ‘Muhyiddin Exit’ ialah Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU16,” katanya. – UTUSAN










