MAIWP salur RM6.71 juta biasiswa perkasa pendidikan asnaf

MAIWP salur RM6.71 juta biasiswa perkasa pendidikan asnaf

ZULKIFLI Hasan (hadapan, tengah) dan Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer (hadapan, tiga dari kiri) bersama tetamu kehormat, sebahagian ibu bapa penerima serta penerima biasiswa pada Majlis Penyerahan Biasiswa Pelajar Cemerlang MAIWP di Menara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Kuiala Lumpur, hari ini. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan RM6.71 juta menerusi Skim Bantuan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang kepada 169 mahasiswa dan pelajar sekolah dari keluarga asnaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, daripada jumlah itu, RM5.63 juta diperuntukkan kepada mahasiswa dalam negara, RM604,000 kepada mahasiswa luar negara dan RM470,500 kepada pelajar sekolah menengah.

Menurutnya, bantuan itu merangkumi pembiayaan yuran pengajian, makan minum serta keperluan pembelajaran, termasuk pembiayaan penuh dan tiket penerbangan bagi pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara.

“Ini adalah antara inisiatif dan usaha yang paling signifikan serta strategik kerana kita membantu anak-anak ini melalui pendidikan.

“Dengan peluang menimba ilmu dan memperoleh ijazah, mereka mampu mengubah masa depan diri dan keluarga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Biasiswa Pelajar Cemerlang di sini, hari ini.

Mengenai pemantauan kepada penerima biasiswa, Zulkifli berkata, MAIWP mempunyai mekanisme yang kukuh dan tersusun bagi memantau penerima mereka agar bantuan yang disalurkan memberi bermanfaat.

“Ia bukan sekadar pemantauan. Kita mahu memotivasikan pelajar supaya terus istiqamah, belajar dengan bersungguh-sungguh dan mencapai kecemerlangan,” katanya.

Jelasnya, sepanjang tahun lalu, MAIWP mengagihkan hampir RM119.7 juta di bawah Kluster Pendidikan bagi memastikan akses pendidikan yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi kepada golongan memerlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×