PETALING JAYA: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) melaksanakan misi penyaluran bantuan musim sejuk kepada pelarian Palestin di Kem Al Marka, Jordan menerusi inisiatif Tabung Kasih Johor-Palestin.
Presiden MAHAR, Jismi Johari berkata, bantuan tersebut bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal, malah membawa mesej kasih dan sokongan moral rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin yang terus berdepan tekanan kemanusiaan.
Menurutnya, misi yang dilaksanakan dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Amman serta Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), melibatkan pengagihan bantuan asas kepada komuniti pelarian yang terjejas akibat cuaca sejuk ekstrem.
“Ia menjadi simbol solidariti berterusan rakyat Johor terhadap perjuangan-perjuangan rakyat Palestin.
“Lebih 35,000 pelarian Palestin yang menetap di Kem Al Marka selepas tragedi Nakbah 1948, menerima manfaat daripada bantuan merangkumi barangan makanan asas, pakaian musim sejuk serta selimut tebal bagi menghadapi suhu dingin,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan.
Katanya, MAHAR berbesar hati melaksanakan amanah rakyat Malaysia di lapangan dan akan terus berperanan sebagai jambatan kemanusiaan antara penderma di tanah air dengan komuniti yang memerlukan, selaras dengan kerangka inisiatif Ops Ihsan.
Delegasi rasmi Johor yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid turut mengunjungi kem pelarian berkenaan bagi meninjau sendiri keadaan penduduk serta menyaksikan proses pengagihan bantuan.
Kunjungan itu katanya, memberi makna besar dalam memperkukuh hubungan kemanusiaan antara rakyat Johor dan rakyat Palestin, selain mencerminkan keprihatinan berterusan kepimpinan negeri terhadap isu kemanusiaan sejagat.
MAHAR akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan, negeri dan antarabangsa bagi memastikan setiap bantuan disampaikan secara telus, cekap dan berintegriti.
“Tabung Kasih Johor–Palestin masih dibuka kepada orang ramai untuk meneruskan misi kemanusiaan tersebut,” katanya. – UTUSAN









