Kerjasama politik UMNO perlu melangkaui kepentingan kuasa

Kerjasama politik UMNO perlu melangkaui kepentingan kuasa

UMNO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebarang kerjasama politik yang bakal dibentuk UMNO wajar mampu meyakinkan rakyat bahawa ia bukan semata-mata demi kepentingan kuasa, tetapi membina sebuah negara yang lebih baik, stabil dan makmur.

Ketua Pemuda UMNO Pokok Sena, Mohd. Farhan Ahmad berkata, kerjasama itu juga haruslah berlandaskan prinsip saling menghormati, keikhlasan dan matlamat bersama demi kepentingan rakyat dan negara.

“Berhubung cadangan kerjasama politik melalui Muafakat Nasional (MN), Pemuda Pokok Sena tidak menolak secara total.

Namun, kami berpandangan bahawa sebarang bentuk kerjasama perlu diperhalusi dengan teliti, khususnya dari segi syarat dan garis panduan yang jelas,” katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun, ujar Mohd. Farhan, Pemuda UMNO Pokok Sena khususnya sentiasa menjunjung tinggi prinsip kepemimpinan dan menghormati keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

Ujarnya, mereka percaya bahawa segala keputusan strategik, lebih-lebih lagi yang melibatkan hala tuju politik dan kerjasama antara parti harus diputuskan secara kolektif oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Kami juga menghargai usaha Datuk Dr. Akmal Saleh selaku Ketua Pemuda UMNO yang telah menyediakan ruang dan platform kepada akar umbi menyuarakan pandangan serta kebimbangan mereka.

“Ini mencerminkan semangat demokrasi dalam parti dan memastikan suara anak muda terus didengari dalam proses membuat keputusan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa bersedia untuk berganding bahu dengan mana-mana pihak yang berkongsi aspirasi yang sama jika dinilai dari sudut perjuangan agama, bangsa, dan kedaulatan negara.

“Namun, dari segi politik sebarang perbincangan dan keputusan perlu melalui saluran yang betul, mengikut protokol serta susur galur organisasi parti. Ini penting bagi memastikan kestabilan dalaman dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan ahli serta rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN