PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bertemu dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh untuk meluah hasrat dan isi hatinya.
Muhamad Akmal berkata, Rauf merupakan individu yang mengenalkan perjuangan UMNO kepadanya sejak beliau menjadi pemimpin mahasiswa.
Kata beliau, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu merupakan individu yang banyak mengajarnya tentang dunia kepimpinan dan perjuangan.
“Hasrat dan isi hati telah saya luahkan kepada Ketua Menteri hari ini. Terima kasih abang, jasa dan ilmu yang abang berikan tidak mampu saya balas satu persatu. Saya berbangga dapat berkhidmat bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini Muhamad Akmal Saleh memberi bayangan untuk berundur susulan mendapat kritikan selepas penganjuran Konvensyen Khas Pemuda UMNO pada 3 Januari lalu yang membincangkan mengenai hala tuju parti di dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada membabitkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO atau melibatkan pentadbiran jawatan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.
Namun, tiga hari lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan bahawa parti tidak menerima surat rasmi dari Muhamad Akmal mengenai peletakan jawatannya seperti didakwa.
Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu ketika bercakap dengan Utusan Malaysia mengesahkan bahawa dirinya akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 bermula pada Rabu ini.
Katanya, pada perhimpunan itu nanti beliau akan menjelaskan pendirian rasmi berhubung kedudukannya, sekali gus menamatkan spekulasi berkaitan isu peletakan semua jawatan disandangnya. – UTUSAN










