PETALING JAYA: Tekanan politik DAP terhadap UMNO berhubung kerjasama politik bukan bersifat kebetulan, sebaliknya ditafsir satu strategi halus memecah-belahkan Melayu.
Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub mendakwa, DAP telah melanggar perjanjian teras empat perkara yang menyentuh kepentingan Melayu dan Islam sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.
Katanya, strategi halus itu menyebabkan ahli UMNO bergelut sesama sendiri dengan ada yang mendesak supaya keluar daripada kerajaan, ada juga yang minta untuk terus kekal dalam kerajaan.
“DAP tahu perjanjian empat teras itu, tetapi mereka juga tahu yang DAP sudah pun melanggar garis merah, macam-macam isu yang ditimbulkan mereka, dengan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi kita masih cuba bersangka baik dengan setiap apa yang dilakukan oleh mereka.
“Tetapi sampai ke saat ini, kita sudah tidak boleh terima lagi dengan setiap tindakan DAP. Hampir lima tahun kerjasama ini, namun ada sahaja perkara yang mereka timbulkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP telah bersetuju untuk menghormati dan menjunjung perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, termasuk kedudukan istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu, dan institusi Raja Berperlembagaan.
Namun, beberapa perkara mengundang kemarahan UMNO, termasuklah pada Disember 2023, DAP menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya PBT di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.
Malah Pada Disember tahun lalu pula, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming untuk meminta pengiktirafan UEC.
Selain itu, Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), sebelum ini mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025, dikatakan memberi kembimbangan kepada Melayu khususnya, namun perkara itu berjaya ditangguhkan atas beberapa desakan termasuk dari UMNO sendiri.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, kontroversi berkenaan tidak membantu UMNO dari sudut sokongan pengundi Melayu, sebaliknya menambah beban persepsi terhadap parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jangan salahkan UMNO bila kita buat sesuatu tindakan. Pemuda UMNO buat konvensyen itu kerana tindakan DAP yang melampau. Mereka khianat perjanjian bukan secara terang, tetapi secara halus yang perlu kita fahami.
“Masalahnya, pemimpin DAP ini suka lempar batu sembunyi tangan. Mereka selalu melepaskan askar-askar kecil mereka, yang selalu timbulkan kekecohan ini ahli parlimen mereka, selepas itu pemimpin tertinggi mereka senyapkan diri,” katanya.
Katanya, kerjasama membabitkan DAP pada penggal berikutnya bukan pilihan terbaik supaya parti itu tidak lagi digugat, malah hak orang Melayu dan Islam akan lebih terjamin. – UTUSAN










