PETALING JAYA: DAP diminta membatalkan niat untuk berkampung dan turun membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri kerana dibimbangi akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan pengundi sekali gus memberi kelebihan kepada pembangkang.
Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya menghormati hasrat DAP yang mahu berkampung di kawasan Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bagi membantu kempen.
Bagaimanapun, menurut beliau, kehadiran DAP dilihat tidak sesuai kerana kawasan perkampungan Orang Asli itu tidak mempunyai masyarakat Cina.
“Orang Asli adalah orang Melayu dan bercakap Bahasa Melayu dan majoritinya beragama Islam. Sekiranya jentera DAP ikut turun padang membantu maka ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang dikuatiri akan menjejaskan sokongan dan undi kepada calon Barisan Nasional (BN).
“Ia juga akan dijadikan isu oleh pembangkang untuk menambah kemarahan kepada UMNO dan BN.
“Oleh itu adalah lebih baik jentera DAP tidak turun padang dan mereka boleh membantu dalam bentuk yang lain sebagai menyokong gerak kerja dan kempen UMNO dan BN di Nenggiri,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
KEMPEN TARIK UNDI
Terdahulu, media melaporkan, pengerusi DAP Kelantan, Azaha Abdul Rani berkata, parti itu akan menumpukan usaha berkempen menarik pengundi Orang Asli seramai lebih 2,700 orang khususnya di lima kawasan iaitu di Tohoi, Sungai Puian, Sungai Jenera, Sungai Wias dan Pos Simpor.
Menurutnya, pucuk pimpinan utama DAP juga akan turun berkempen namun senarai tokoh terlibat belum diputuskan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi sementara bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim untuk menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN kawasan itu atas alasan beliau masih penyandang yang sah.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain selepas memutuskan bahawa Mohd Azizi tidak berdepan kemudaratan sekiranya PRK itu dijalankan kerana beliau masih boleh menyertai pilihan raya berkenaan.
Oleh itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri diumumkan untuk diadakan pada 17 Ogos depan, penamaan calon pada 3 Ogos manakala hari mengundi awal 13 Ogos. – UTUSAN










