Kerajaan nafi jurutera tempatan kualiti rendah

Kerajaan nafi jurutera tempatan kualiti rendah

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa jurutera tempatan tidak diiktiraf dan memiliki kualiti rendah, sebaliknya kelayakan profesion itu memenuhi piawaian antarabangsa melalui sistem pendaftaran serta penilaian yang telus.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tohmahan yang berlegar kononnya jurutera tempatan tidak profesional akibat ketiadaan modul kepakaran tersusun atau agensi pengiktirafan khusus adalah mengelirukan, tidak berasas dan tidak tepat.

Menurut beliau, Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) merupakan satu-satunya badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138) bagi mengawal selia, mendaftar dan mengiktiraf jurutera profesional di negara ini.

“Laluan ke arah pengiktirafan jurutera profesional adalah jelas, berstruktur dan telus melalui Peperiksaan Penilaian Profesional (PAE). LJM juga telah lama melaksanakan penilaian berasaskan hasil yang meliputi 30 disiplin kejuruteraan.

“Jurutera profesional tempatan diiktiraf secara sah dan setara dengan piawaian global, termasuk dalam bidang kejuruteraan baharu yang berkembang selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0),” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Penglibatan Pemegang Taruh Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pihak tertentu yang mempertikai pengiktirafan jurutera pakar tempatan sehingga menjejaskan keyakinan terhadap profesion kejuruteraan negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kualiti dan amalan kejuruteraan Malaysia turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila LJM diiktiraf di bawah Washington Accord, Sydney Accord dan Dublin Accord.

“Ini bermakna standard dan amalan kejuruteraan kita diiktiraf di Amerika Syarikat, Eropah, Australia dan negara-negara maju lain. Jadi dakwaan bahawa kualiti jurutera kita rendah adalah tidak benar,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Penglibatan Pemegang Taruh Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) di Kompleks Kerja Raya, di sini, yang turut menyaksikan pelancaran Pelan Strategik LJM 2026–2030 bagi memperkukuh tadbir urus, bakat, pengiktirafan dan inovasi dalam sektor kejuruteraan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN