Keputusan kekal atau keluar kerajaan adalah hak UMNO

Keputusan kekal atau keluar kerajaan adalah hak UMNO

AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan supaya UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang yang bermaruah adalah keputusan parti, bukan keputusan kerajaan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya tidak meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan perkara itu dalam Kabinet kerana sama ada UMNO kekal atau keluar daripada kerajaan, ia adalah hak parti.

“Semalam (Konvensyen Khas) kita minta UMNO tarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang yang bermaruah.

“Kita tidak minta Perdana Menteri bawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet kerana kita sedar sama ada kekal atau keluar itu adalah keputusan parti, bukan keputusan kerajaan. Keputusan parti adalah hak parti sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut menyentuh situasi di Melaka, di mana pihak lain tidak perlu menunggu mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sekiranya berhasrat untuk keluar daripada kerajaan negeri.

“Kepada Amanah (Parti Amanah Negara) dan DAP Melaka, jika berani untuk keluar, teruskan sahaja. Tidak perlu tunggu mesyuarat Exco kerajaan negeri. Insya-Allah, kerajaan negeri akan tetap berjalan dengan baik walaupun kamu tiada dalam kerajaan. Apa ada masalah,” katanya.

Terdahulu, DAPSY Kebangsaan menggesa Muhamad Akmal segera meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka dan menyertai Pas.

DAPSY Kebangsaan berkata, Muhamad Akmal seharusnya menunjukkan teladan dengan meletakkan jawatan dan menjadi perintis untuk menyertai Pas daripada terus berbicara panjang.

Ia susulan kenyataan Muhammad Akmal yang menggesa penyatuan orang Melayu perlu dimulakan oleh dua parti terbesar iaitu UMNO dan Pas kerana perpecahan hanya akan merugikan akar umbi dan melemahkan kekuatan bangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN