Gesaan Dr Akmal: UMNO ada medan perbincangan tersendiri - Azalina

Gesaan Dr Akmal: UMNO ada medan perbincangan tersendiri – Azalina

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: UMNO adalah sebuah parti yang sentiasa bermusyawarah dan mempunyai kebijaksanaan tersendiri dalam menangani apa-apa isu.

Itu pandangan diberikan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung gesaan dan kenyataan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO baru-baru ini.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, UMNO sendiri mempunyai medan perbincangan tersendiri khususnya biro politik dan perhimpunan agung UMNO (PAU).

“Bagi saya, sejak 1946 UMNO telah melalui bermacam cabaran dan Insya-Allah kepimpinan dalam UMNO mempunyai kebijaksanaan mereka sendiri dan bermula biro politik kemudian kita ada PAU minggu depan.

“UMNO selalu bermusyawarah walaupun ahli UMNO tak nampak semua alim tetapi ada nampak budaya melayu dan Islam kita pakai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Muhamad Akmal megenai desakan supaya UMNO keluar dari Kerajaan Perpaduan dan usaha mewujudkan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN).

Jelas Azalina lagi, kenyataan dan desakan dibuat Dr Muhamad Akmal baru-baru ini adalah pandangan peribadi sahaja.

Menurutnya, ketika ini Biro Politik sedang bermesyuarat dan segala ketetapan mengenai isu dibangkitkan Ketua Pemuda UMNO akan dikeluarkan sekitar pukul 4 petang ini.

Berhubung cadangan Dr Muhamad Akmal supaya mewujudkan kerjasama dengan PAS menerusi MN, Azalina berkata, cadangan itu perlu dibincang lebih teliti dan tidak boleh tergesa-gesa.

“Orang kalau nak bercerai atau nak nikah balik mesti ada masa iddah. Tak kan nak cakap hari ini nak cerai semalam dah lafaz.

“Nak cerai cakap betul-betul bincang dengan keluarga dalam Islam,” katanya.

Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) Sabtu lalu antara lain bertujuan membincangkan mengenai hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN