PETALING JAYA: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag mesti ditanggap dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai amanah rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amanah tersebut menuntut kepemimpinan yang berintegriti, tahap khidmat yang berkesan serta keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan.
Katanya, keputusan PRK berkenaan mencerminkan keyakinan rakyat yang berterusan terhadap usaha, khidmat dan komitmen yang telah dipertunjukkan di peringkat akar umbi.
“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada BN atas kemenangan dalam PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag semalam.
“Kemenangan ini wajar ditanggapi dengan sikap tanggungjawab sebagai amanah rakyat yang menuntut kepemimpinan yang berintegriti, tahap khidmat yang berkesan serta keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Kerajaan Madani akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan bagi memastikan pembangunan di Sabah dapat dimantapkan, kesejahteraan rakyat terus dipelihara serta agenda Madani dapat dijelmakan dengan tekad bersama.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag yang baharu, Mohd. Kurniawan Naim Moktar serta Mohd. Ismail Ayob atas kemenangan tersebut.
“Dengan doa agar legasi khidmat dan kepemimpinan Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin terus dipelihara sebaiknya,” katanya.
Keputusan PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan Mohd. Kurniawan berjaya mempertahankan kerusi yang disandang ayahnya sejak 1999 selepas meraih majoriti 14,214 undi, menewaskan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
Bagi PRK DUN Lamag, Mohd. Ismail mengekalkan kerusi tersebut untuk BN apabila memperoleh majoriti 5,681 undi, mengatasi pencabarnya Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian Bung Moktar, 66, pada 5 Disember tahun lalu. – UTUSAN










