JOHOR BAHRU: Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) Ke-28 yang akan dianjurkan pada 4 hingga 8 Februari depan menyasarkan kehadiran sehingga satu juta orang pelancong.
Presiden Majlis Pelayang Malaysia, Datuk A. Rahim Nin berkata, sasaran tinggi tersebut diletakkan susulan penganjuran sambutan Tahun Melawat Johor 2026 dan juga sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, pelbagai usaha promosi melalui kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Tourism Johor sedang giat dilaksana.
“Pada awalnya kami sasar kehadiran pengunjung ke FLLSPG tahun ini lebih daripada 650,000, namun setelah pelbagai usaha promosi dan kerjasama strategik yang dilakukan termasuklah di luar negara kami sasar kehadiran pengunjung seramai satu juta orang.
“Kami komited untuk menjayakan penganjuran festival tahun ini bagi membantu kerajaan negeri dan Malaysia merekodkan kemasukan pelancong tinggi tahun ini,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan hari ini.
Tambah A. Rahim, selain pelbagai promosi yang dibuat, FLLSPG tahun ini juga akan merekodkan jumlah penyertaan negara antarabangsa tertinggi iaitu sebanyak 56 negara tidak termasuk Malaysia.
“Ini termasuklah penyertaan pelayang dari negara-negara yang pertama kali turut serta seperti Algeria, Greece, Uruguay, Hungary, Qatar dan Tunisia.
“Pelbagai aktiviti menarik telah disusun termasuklah kehadiran artis popular tanah air, selain upacara perasmian FLLSPG akan disempurnakan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim,” ujarnya. – UTUSAN










