PASIR GUDANG: Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) kali ke-28 mencatat sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) setelah menghimpunkan jumlah penyertaan negara tertinggi menyertai festival tersebut.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pencapaian itu amat membanggakan dan berjaya meletakkan Johor di peta dunia.
Katanya, FLLSPG yang mula diperkenalkan pada 1995 bukan sahaja memperjuangkan permainan warisan itu malah menjadi platform bertukar pengetahuan dan meraikan persahabatan membabitkan peserta dari seluruh pelusuk dunia.
“FLLSPG bukanlah nama asing lagi dalam kalangan pelayang antarabangsa yang berjaya menghimpunkan peserta dari benua Asia, Eropah, Afrika, Amerika Selatan, Amerika Utara dan Australia.
“Kepelbagaian latar belakang dan budaya inilah yang kita raikan, persahabatan yang tercipta di sini harus disemai. Kerajaan negeri berbesar hati menjadi tuan rumah kepada peserta dari 56 negara yang hadir ke festival ini.
“Pengiktirafan MBOR ini juga menjadikan FLLSPG kali-28 ini cukup bermakna, justeru kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada Majlis Pelayang Malaysia untuk mengangkat festival ini,” katanya dalam ucapan perasmian Penganjuran Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang di Bukit Layang-layang, di sini semalam.
Menurut Presiden Majlis Pelayang Malaysia, Datuk A. Rahim Nin, FLLSPG kali ini mencatatkan penyertaan negara tertinggi membabitkan 56 negara termasuk muka baharu iaitu Algeria, Greece, Hungary, Qatar, Tunisia dan Uruguay.
Katanya, kali terakhir FLLSPG merekodkan jumlah penyertaan negara tertinggi ialah pada tahun 2015 setelah sebanyak 49 negara menyertainya.
“Kita rasa cukup bangga dengan pengiktirafan MBOR itu, ini adalah hasil sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Johor serta Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
“Kita berharap sasaran 650,000 pengunjung yang berkunjung ke Bukit Layang-layang sepanjang lima hari penganjuran FLLSPG ini mampu tercapai,” katanya. – UTUSAN










