PUTRAJAYA: Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 yang diagihkan kepada setiap warganegara berusia 18 tahun tahun lalu telah digunakan sebanyak 96 peratus dengan baki tidak dituntut dilaporkan sebanyak RM150 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun, kerajaan tidak akan mengambil baki tidak dituntut itu dan akan menyerahkan kepada beberapa kementerian terpilih untuk pemberiaan manfaat lain kepada rakyat.
“Kita akan serahkan (sumbangan tidak dituntut) untuk diagihkan kepada penghuni pusat perlindungan seperti mangsa keganasan rumah tangga di bawah Nancy (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri).
“Selain itu, (peruntukan) orang kurang upaya (OKU) dan keperluan khas di bawah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan untuk pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin di bawah Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad.
“Dan atas rayuan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir tadi, beliau minta bagi kepada Bank Makanan Dapur Siswa sebanyak RM15 juta,” katanya ketika menyampaikan amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Anwar berkata, pada tahun lalu, Sumbangan Penghargaan Sara telah digunakan oleh 96 peratus rakyat yang mencecah hampir RM2.1 bilion.
“Ada orang kata yang kaya pun ambil, tapi mereka beri kepada jiran yang miskin.
“Tetapi 96 peratus itu dan kita telah jimatkan, ia bukan bermakna kerajaan tidak berbelanja RM150 juta, dan seperti saya janjikan ia tidak diambil oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN










