KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) bersedia untuk menganggotai ‘kolaborasi agung’ yang digagaskan UMNO membabitkan seluruh parti-parti Melayu Islam di tanah air dengan syarat ia bukan bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana kaum lain di negara ini.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, idea penubuhan kolaborasi agung itu perlu bersifat positif yang bukannya bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan antara kaum di negara.
“Kolaborasi agung itu kita setuju, hendak menyatukan semua orang Melayu, tak ada siapa yang mahu lihat orang Melayu berpecah, tetapi biarlah kesatuan itu dilakukan secara positif atas asas yang positif.
“Bukannya digagaskan atas dasar Melayu terancam, kepentingan terjejas jadi orang Melayu perlu bersatu untuk menghadapi kaum lain dan sebagainya.
“Hal sebegini tidak positif, ia merosakkan perpaduan negara, jadi biarlah kita bersatu melalui satu asas iaitu membangunkan orang Melayu dengan kerjasama bangsa-bangsa lain,” katanya pada sidang media selepas Program Temu Rapat Amanah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan hasrat untuk menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah satu gabungan dikenali ‘grand collaboration’ atau ‘kolaborasi agung’, tanpa berhajat untuk menggugat Kerajaan Perpaduan.
Presiden UMNO menyatakan hasrat itu ketika membangkitkan satu usul yang dikemukakannya sendiri ketika sesi penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, semalam, yang kemudian dipersetujui perwakilan.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, kolaborasi agung ini perlu mencontohi kemajuan daripada bangsa-bangsa lain yang bekerjasama untuk membangunkan kaumnya bukannya atas dasar mengancam atau membenci orang Melayu.
“Mereka bersatu dengan usaha untuk membangunkan bangsa sendiri sambil bekerjasama dengan orang Melayu. Tak ada masalah.
“Jadi kenapa orang Melayu tak boleh bersatu untuk membangunkan bangsa sendiri tanpa adanya unsur-unsur ketakutan, kebencian dan sebagainya.
“Unsur-unsur sebegini hanya akan merosakkan perpaduan sesama kaum di negara kita bukannya memajukan orang Melayu,” katanya. – UTUSAN










