KUALA LUMPUR: Semua pemimpin sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang diingatkan agar lebih berhati-hati supaya tidak melakukan sebarang hasutan sehingga menimbulkan ketegangan antara wilayah.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, sebarang perbezaan pandangan perlu diselesaikan secara matang dan bukan melalui kebencian atau syak wasangka.
“Asas kepada pembentukan Malaysia adalah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 yang telah menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara.
“Kita sewajarnya kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia, iaitu perpaduan, saling menghormati dan kerjasama erat antara negeri-negeri serta Kerajaan Persekutuan.
“Ahli-ahli Yang Berhormat perlu lebih berhati-hati agar tidak menghasut sehingga menimbulkan ketegangan antara wilayah,” titah baginda menerusi Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa hak-hak negeri perlu sentiasa dihormati, namun kepentingan Malaysia secara keseluruhan hendaklah diutamakan.
Titah Baginda, setiap pembahasan, keputusan dan undian yang dibuat di Dewan Rakyat bukan sekadar pendirian politik parti tetapi bakal menentukan masa depan negara.
“Laksanakanlah tanggungjawab ini dengan penuh amanah, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat.
“Seluruh rakyat diseru bersama-sama berdoa supaya Malaysia terus maju dan makmur, aman dan damai, serta menikmati kehidupan yang sempurna, bahagia dan sejahtera,” titah Baginda. – UTUSAN










