‘Abang katil’ tinggalkan kerjaya, hulur bantuan percuma 24 jam

‘Abang katil’ tinggalkan kerjaya, hulur bantuan perubatan percuma 24 jam

SYED Shukri Nizam memberikan fokus kepada misi kemanusiaan sejak 12 tahun lalu selepas berhenti kerja dalam bidang teknologi maklumat untuk berbakti kepada masyarakat. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Siapa sangka langkah kecil yang diambil oleh seorang lelaki dengan meninggalkan kerjayanya dalam bidang teknologi maklumat untuk berbakti kepada masyarakat, menjadikannya dikenali sebagai ‘Abang Katil’.

Pengasas Pertubuhan Kebajikan Ikhlas Al-Mawaddah (MyFamilyCare), Syed Shukri Nizam, 50, berkata, penglibatannya dalam aktiviti kebajikan bermula pada 2013 ketika menyertai misi bantuan banjir di Kelantan sebelum mengambil keputusan berhenti kerja pada 2014 bagi memberi fokus kepada misi kemanusiaan.

Katanya, dia mengendalikan pusat hentian bantuan berkonsepkan bantuan segera dan percuma, khususnya melibatkan kelengkapan perubatan seperti katil pesakit, mesin oksigen serta kerusi roda khususnya untuk golongan kurang berkemampuan.

“Saya berpegang dengan konsep, bila kita memudahkan urusan orang, Allah akan memudahkan urusan kita. Orang selalu beranggapan jika hendak bantu orang perlu ada duit yang banyak, tetapi bagi saya cukup dengan niat dan semangat itu sudah memadai.

“Sebenarnya, ramai pesakit yang memerlukan bantuan segera, terutamanya apabila keluar hospital. Namun, tidak semua waris berkemampuan untuk membeli katil atau mesin perubatan yang harganya mencecah ribuan ringgit,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Lukut, di sini semalam.

Tambahnya, pendekatan bantuan segera itu diwujudkan bagi menampung kelompongan sistem bantuan awam yang memerlukan tempoh menunggu.

Lebih menarik, dia turut menyediakan perkhidmatan mengisi gas oxigen secara percuma, sekali gus menjadikan pusat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pertama mempunyai servis sebegitu di negeri ini.

Kini, Syed Shukri memiliki hampir 200 unit katil pesakit serta 20 buah mesin oksigen hasil sumbangan orang ramai, projek wakaf serta sokongan pemimpin tempatan.

“Semua perkhidmatan yang kami sediakan adalah percuma dan 24 jam. Kita bantu sesiapa yang memerlukan tanpa mengira bangsa. Bila komuniti nampak kita konsisten, insya-Allah orang mula yakin dan sama-sama menyumbang,” katanya.

Menurut Syed Shukri, gelaran ‘Abang Katil’ tercetus secara spontan apabila kehadirannya yang kerap di hospital dan kawasan perumahan mula dikenali orang ramai, khususnya dalam urusan penghantaran katil dan peralatan perubatan.

Katanya, ia menjadi kepuasan buat dirinya apabila melihat perubahan hidup dan senyuman yang dipancarkan oleh penerima, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk terus membantu orang lain.

Dalam pada itu, dia kini memerlukan sekurang-kurangnya 10 buah mesin oksigen bagi menampung keperluan kerana berlakunya peningkatan permintaan terhadap mesin tersebut.

“Saya memerlukan mesin oxigen lima dan 10 liter. Pada ketika ini, mesin yang ada tidak mencukupi untuk menampung permintaan yang ada. Pernah dulu, seorang pesakit meninggal dunia ketika saya sedang memasang tiub oxigen kepadanya. Sejak daripada itu, saya akan cuba memastikan bekalan mesin perubatan terutama oxigen mencukupi,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh ke akaun Bank Islam milik pertubuhannya, Pertubuhan Kebajikan Ikhlas Al-Mawaddah (MyFamilyCare) bernombor 0504-9010-0228-34. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN