BUNIA: Sekumpulan perusuh bertindak membakar sebahagian daripada khemah hospital di pusat wabak Ebola di timur Republik Demokratik Congo (DR Congo) pada Khamis selepas ahli keluarga dan rakan-rakan seorang pemuda yang maut akibat virus itu dihalang daripada membawa pulang mayatnya untuk dikebumikan.
“Mereka mula membaling objek ke arah hospital. Mereka turut membakar khemah-khemah yang digunakan sebagai wad pengasingan,” kata ahli politik tempatan, Luc Malembe Malembe kepada Perbadanan Penyiaran British (BBC) mengenai kejadian yang disaksikannya di Hospital Besar Rwampara.
Dalam keadaan huru-hara itu, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan amaran bagi meleraikan orang ramai.
Mayat mangsa yang meninggal dunia akibat Ebola dilaporkan sangat mudah berjangkit, sehingga memaksa pihak berkuasa memastikan proses pengebumian yang selamat bagi mengekang penularan virus berkenaan.
Kakitangan-kakitangan perubatan di Hospital Rwampara yang terletak berhampiran bandar Bunia di wilayah Ituri, lokasi di mana hampir kesemua kes dilaporkan kini diletakkan di bawah perlindungan tentera manakala pihak polis berusaha memulihkan ketenteraman.
Menurut seorang pekerja hospital kepada agensi berita AFP, seorang petugas kesihatan mengalami kecederaan akibat dibaling batu oleh penunjuk perasaan sebelum pihak penguatkuasa undang-undang campur tangan.
Jean Claude Mukendi yang menyelaraskan tindak balas keselamatan terhadap Ebola di Ituri, memberitahu Associated Press bahawa pemuda yang meninggal dunia itu merupakan seorang figura yang popular dalam komuniti setempat dan mereka yang berang dengan kematiannya tidak memahami realiti sebenar penyakit tersebut.
Beberapa saksi memberitahu Reuters bahawa pemuda berkenaan merupakan seorang pemain bola sepak yang pernah beraksi dengan beberapa pasukan tempatan.
Ibu mangsa pula mendakwa beliau percaya anaknya meninggal dunia akibat demam kepialu dan bukannya disebabkan Ebola.
Malembe menambah, kumpulan perusuh itu tidak mempercayai kewujudan virus berkenaan yang setakat ini telah mengorbankan lebih 130 nyawa di timur Congo.
“Orang ramai tidak diberikan maklumat yang betul atau disedarkan tentang apa yang sebenarnya berlaku. Bagi segelintir penduduk, terutamanya di kawasan pedalaman, Ebola hanya rekaan orang luar, ia tidak wujud,” kata ahli politik itu.
“Mereka percaya badan bukan kerajaan (NGO) dan hospital sengaja mencipta perkara ini untuk mengaut keuntungan dan ini adalah sesuatu yang tragis,” tambahnya.
Beliau mengesahkan dua buah khemah telah hangus dibakar bersama dengan satu mayat yang sepatutnya dijadualkan untuk dikebumikan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini telah menetapkan garis panduan pengebumian yang selamat dan bermaruah bagi mangsa Ebola yang memerlukan pasukan terlatih menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk mengendalikan mayat. – BBC/AGENSI










