Tunggu post mortem sebelum tuding jari – PN

Tunggu post mortem sebelum tuding jari – PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan menuding jari kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai punca kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab kerana dibuat sebelum laporan post mortem rasmi dibentangkan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, mana-mana pihak, termasuk pimpinan Bersatu Sabah tidak seharusnya membuat tuduhan atau kenyataan terbuka tanpa menunggu laporan lengkap daripada Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Pengarah Pilihan Raya Sabah, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurutnya, tindakan membuat sidang media awal sebelum laporan post mortem disiapkan adalah tidak bertanggungjawab, selain berpotensi menimbulkan salah faham terhadap pihak yang mengendalikan PRN Sabah dari awal hingga akhir.

“Tunggu laporan penuh daripada mereka yang mengurus PRN Sabah. Itu asas disiplin politik, dan laporan itu wajib dibentangkan sebelum sesiapa membuat kenyataan menyalahkan mana-mana pemimpin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurutnya, laporan hasil post mortem itu perlu dibentangkan kepada Majlis Tertinggi PN dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bagi memastikan setiap penilaian dibuat berdasarkan fakta, bukan persepsi atau emosi.

Tun Faisal berkata, hanya pihak yang dipertanggungjawabkan mengurus PRN Sabah mempunyai gambaran sebenar mengenai kekuatan dan kelemahan jentera parti.

Dalam masa sama, beliau menegur Setiausaha Badan Perhubungan Negeri (BPN) Sabah, Yunus Nurdin, yang sepatutnya memberi tumpuan membantu menyiapkan laporan post mortem secepat mungkin dan bukannya membuat sidang media menyalahkan pihak lain.

PN mencatat keputusan mengecewakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 apabila hanya berjaya memenangi satu daripada 41 kerusi yang ditandingi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN