Sebarang tuntutan tidak boleh terpisah daripada perlembagaan - Anwar - Utusan Malaysia

Sebarang tuntutan tidak boleh terpisah daripada perlembagaan – Anwar

ANWAR Ibrahim ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah di Kelibang, Pulau Langkawi, Kedah hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang tuntutan termasuk untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak boleh meminggirkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Perdana Menteri berkata, mana-mana tuntutan itu tidak boleh dibincangkan secara terpisah daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan dan asas Bahasa Kebangsaan.

“Saya tak peduli siapa, parti mana, pengaruh mana. Kalau saya mahu didukung sebagai Perdana Menteri, saya mesti pertahankan prinsip Perlembagaan. Apa yang berbeza, perbezaannya ialah tuntutan itu tuntutan yang menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa.

“Itu saya tidak setuju sama sekali. Bawa dulu mesej pertahankan martabat Bahasa Kebangsaan kemudian rangkul sekali keperluan penguasaan bahasa lain-lain. Itu kita boleh terima,” katanya selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah, Kelibang di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, partinya akan berjumpa dengan Perdana Menteri untuk meminta supaya kerajaan mengiktiraf UEC.

Perdana Menteri berkata, masalah akan timbul apabila wacana bahasa menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa sahaja, sehingga seolah-olah meletakkan kepentingan sesuatu kumpulan mengatasi prinsip bersama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini Malaysia, Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan sesiapa pun dalam percubaan mereka untuk membawa mesej satu-satu bahasa mesti ingat bahasa rasmi.

“Bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang dikuasai oleh semua rakyat Malaysia. Yang itu kita noktahkan, jelaskan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak menutup ruang untuk memperkukuh penguasaan bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Cina, Arab dan Tamil, namun semua usaha itu mesti dilakukan selepas martabat Bahasa Melayu dipertahankan dengan jelas.

“Kalau ini dah jelas, nak bangkit soal keperluan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris, saya setuju. Tapi bahasa Melayu bahasa bidang teknologi baru, bahasa untuk AI (kecerdasan buatan), bahasa untuk bahasa ilmu itu mesti dimantapkan.

“Penguasaan bahasa itu harus baik dalam kalangan semua rakyat, semua aliran. Saya tak kira Cina, Tamil, Inggeris mesti menguasai Bahasa Melayu dan ini juga syarat yang kita kenakan untuk sekolah-sekolah antarabangsa,” katanya.

Katanya, pelajar tempatan yang berada di sekolah antarabangsa mesti lulus dan menguasai Bahasa Melayu walaupun dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN