PETALING JAYA: Penganjur acara Miss & Mister Celebrity International 2025 akan menurunkan semua logo, bahan serta sebarang bentuk penglibatan berkaitan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Tourism Malaysia di bawah acara itu berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan tersebut diambil susulan penggunaan logo pihak pelancongan berkenaan tanpa kebenaran, selain tercetusnya kontroversi selepas penularan rakaman video di TikTok yang memaparkan isu seorang hakim lelaki mengenakan jubah dalam acara berkenaan.
Menurut penganjur, mereka telah menerima panggilan rasmi dan emel daripada pihak berkuasa pelancongan berkaitan perkara itu.
“Semua logo, bahan serta sebarang bentuk penglibatan berkaitan pelancongan di bawah acara tersebut akan dikeluarkan sepenuhnya. Keputusan itu dibuat secara muktamad dan melalui kerjasama penuh bersama pihak berkuasa pelancongan.
“Selepas kajian dalaman yang teliti, kami mengakui sepenuhnya bahawa insiden ini telah menimbulkan kebimbangan serius khususnya berkaitan agama Islam dan kami mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penganjur itu memohon maaf secara terbuka dan memberi jaminan akan melaksanakan garis panduan dalaman yang lebih ketat, selain meningkatkan kesedaran budaya serta sensitiviti terhadap agama bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.
“Kami dengan ikhlas dan tanpa sebarang syarat memohon maaf atas sebarang penghinaan, salah faham atau kesulitan yang disebabkan oleh insiden ini.
“Kami amat menghormati agama Islam dan semua kepercayaan agama lain, dan kesal situasi ini telah menimbulkan kebimbangan dalam komuniti,” katanya.
Sebelum ini, MOTAC dan Tourism Malaysia dilapor akan mengambil tindakan terhadap penganjur acara Miss & Mister Celebrity International 2025 yang didapati menggunakan logo tanpa kebenaran.
Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia dalam kenyataan berkata, tindakan sewajarnya akan diambil bagi melindungi hak harta intelek, integriti jenama serta identiti korporat rasmi. – UTUSAN










