SEPANG: Peguam kepada Albert Tei, Mahajoth Singh hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini bagi memberi keterangan berhubung siasatan berkaitan laporan yang dibuat oleh isteri ahli perniagaan itu, mengenai operasi pihak berkuasa baru-baru ini.
Mahajoth hadir dengan ditemani peguam, Rajesh Nagarajan sekitar pukul 1.50 tengah hari dan selesai memberi keterangan kira-kira 30 minit kemudian.
Menurut Mahajoth, dia menerima notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah pada pukul 12.30 tengah hari semalam, menerusi aplikasi WhatsApp yang memintanya hadir ke balai polis, susulan peranannya sebagai peguam, semasa insiden berkenaan berlaku pada 28 November lalu.
“Saya terpaksa menjadualkan semula kehadiran kerana perlu mendapat nasihat peguam terlebih dahulu. Saya hadir hari ini, tetapi agak terkejut dengan cara mereka (Polis Diraja Malaysia) menguruskan hal ini.
“Salah satu soalan yang ditanya ialah ‘Adakah kamu kenal Albert Tei?’ Saya rasa satu Malaysia tahu siapa beliau (Albert Tei). Adakah itu justifikasi untuk memanggil seseorang bagi memberi keterangan?,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan IPD Sepang hari ini.
Sementara itu, peguam yang mewakili Mahajoth menegaskan bahawa tindakan pihak polis itu tidak boleh diterima dan dianggap bertentangan dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Rajesh turut merujuk Seksyen 126 Akta Keterangan 1950 yang memberi perlindungan komunikasi antara peguam dan anak guam.
“Kami mengambil maklum bahawa klien saya diminta untuk memberikan keterangan. Namun, sebagai peguam, beliau terikat dengan keperluan untuk menjaga kerahsiaan komunikasi antara peguam dan anak guam seperti termaktub dalam undang-undang,” ujarnya.
Kata Rajesh, tindakan memanggil peguam untuk memberikan kenyataan dalam kes yang melibatkan anak guam mereka adalah satu percubaan untuk ‘menembusi keistimewaan undang-undang’ dan tidak wajar dibiarkan berlaku.
“Saya sudah menghubungi Majlis Peguam Malaysia untuk membuat kenyataan tegas kepada PDRM agar menghentikan tindakan mengganggu peguam dan memaksa mereka mendedahkan komunikasi yang dilindungi undang-undang,” katanya.
Semalam, media melaporkan polis belum mendapat keterangan dan bukti yang boleh mengesahkan dakwaan berhubung pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacu senjata dalam kes serbuan dan penahanan ahli perniagaan, Albert Tei, di rumahnya di Puchong pada 28 November lalu. – UTUSAN










