Pas perlu aura Shahidan pertahan Perlis dalam PRU16

Pas perlu aura Shahidan pertahan Perlis dalam PRU16

SHAHIDAN Kassim ketika ditemui Mingguan Malaysia di Yayasan Pok dan Kassim (YPK) Kangar, Perlis baru-baru ini.- MINGGUAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN baru dua tahun menyertai Pas, Datuk Seri Shahidan Kassim membuktikan pengaruh beliau masih kuat apabila diberi kepercayaan memegang jawatan-jawatan penting parti sama ada di peringkat Pusat atau negeri.

Terbaharu, Ahli Parlimen Arau itu dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas III nege­ri, sekali gus menguatkan lagi barisan kepemimpinan baharu Perhubungan Pas Perlis bagi sesi 2025-2027 dalam misi mempertahankan Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Barisan kepemimpinan baharu itu menyaksikan Ahmad Ali sebagai Pesuruhjaya Pas negeri manakala Saad Seman merangkap Yang Dipertua Pas kawasan Padang Besar dan Yussaine Yahya sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Kangar masing-masing dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas I dan II.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli yang juga bekas Pesuruhjaya Pas negeri gagal me­nempatkan diri dalam barisan kepemimpinan baharu tersebut.

Sebelum ini, Shahidan yang menang pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri bagi menggantikan Mohd. Shukri.

Pelantikan Shahidan meme­gang beberapa jawatan penting itu bukan sahaja mengukuhkan peranannya di dalam Pas malah membuka lembaran baharu kepada beliau kembali menjadi pemimpin utama di negeri ini.

Menginjak 74 tahun, Shahidan yang pernah menjadi pe­mimpin utama di negeri ini dengan memegang jawatan Menteri Besar sejak 1995 hingga Mac 2008 itu diakui masih mempunyai pe­ngaruh cukup kuat dalam kala­ngan rakyat di negeri ini yang terus mengenang jasa beliau.

Di Perlis, sebut sahaja nama Shahidan pasti semua sedia maklum mengenai kewibawaan tokoh politik yang cukup terkenal khususnya di negeri ini sejak hampir empat dekad lalu.

Di sebalik PN atau Pas ne­geri yang dilihat sedikit goyah dengan pelbagai isu dan krisis dalaman, pelantikan Shahidan itu mampu mengukuhkan semula gabungan tersebut dalam berdepan PRU16 yang disifatkan lebih mencabar.

Pengaruhnya dan aura Shahidan yang berjaya membantu PN merampas negeri ini buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum lalu dijangka mampu diteruskan pada pilihan raya akan datang selepas bekas pemimpin kanan dan orang nombor satu UMNO Perlis itu diberi pe­ranan sebagai panglima perang mengetuai PN.

Meskipun masih baharu dalam parti Islam itu, namun Shahidan dilihat tidak kekok dalam mendekati ahli Pas sehingga cukup mudah diterima selain disenangi dalam kepemimpinan Pas pusat. Pas juga sedar, pengaruh Shahidan juga sangat membantu dan diperlukan untuk mengekalkan Perlis di tangan PN dalam PRU16.

Dalam suasana politik dan prestasi semasa pentadbiran kerajaan PN di Perlis, pengaruh Shahidan antara yang dilihat bakal menjadi ‘penyelamat’ PN di negeri ini dalam PRU16.

“Alhamdulillah, saya menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kepercayaan dan amanah yang diberikan dengan pemilihan sebagai Timbalan Pesuruhjaya III Badan Perhubungan Pas Perlis.

“Amanah ini akan dipikul dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan komitmen untuk terus memperkasakan saf ke­pimpinan, memperkukuh ge­rak kerja jemaah serta mempereratkan perpaduan ummah,” kata Shahidan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN