Panglima Tentera Darat bercuti serta-merta hingga siasatan selesai

Panglima Tentera Darat bercuti serta-merta hingga siasatan selesai

MUHAMMAD HAFIZUDDEAIN JATAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan terhadapnya selesai.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah pentadbiran itu diambil bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan.

“Langkah ini diambil bagi memberikan ruang penuh kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan bebas dan adil.

“Ia juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan integriti dan ketelusan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Khaled berkata, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain dilantik memangku tugas sebagai Panglima Angkatan Tentera berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, ia selaras dengan persaraan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar yang telah mencapai umur persaraan wajib.

“Kementerian Pertahanan merakamkan penghargaan atas khidmat, kepimpinan dan jasa Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam sepanjang menerajui ATM serta mendoakan kelancaran urusan persaraan beliau.

Sebelum ini, aktivis dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pembela Tanah Air (Peta) membuat laporan polis terhadap seorang pegawai kanan tentera darat berhubung penggubahan wang haram yang didakwa melibatkan urusan perolehan serta transaksi kewangan meragukan.

Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dilaporkan berkata, laporan itu dibuat susulan pendedahan beberapa dokumen sulit yang diperoleh pihaknya melalui audit forensik yang mendapati kemasukan wang tunai berulang ke dalam akaun pegawai berkenaan serta ahli keluarga terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN