PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd. Misbahul Munir Masduki mempertikaikan tindakan Bersatu yang tidak memecat lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu selepas menarik balik sokongan terhadap bekas Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu membandingkan tindakan diambil terhadap enam Ahli Parlimen Bersatu sebelum ini yang dipecat kerana didakwa pengkhianat selepas menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar mendakwa tindakan Bersatu dilihat tidak konsisten dan ‘pilih kasih’ dalam mengurus isu membabitkan ahli mereka.
“Enam Ahli Parlimen Bersatu sokong PMX (Anwar) dikata pengkhianat dan dipecat. Lima ADUN Bersatu tarik sokongan Menteri Besar PN (Perikatan Nasional) bukan pengkhianat juga ke? Dan kenapa tidak pula dipecat ya?” katanya ringkas dalam Facebook miliknya hari ini.
Kenyataan itu menyusul selepas beberapa pemimpin Pas menyindir Bersatu susulan kemelut politik yang menyaksikan peletakan jawatan Mohd Shukri yang juga ADUN Sanglang, Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.
Media sebelum ini melaporkan lima ADUN Bersatu bersama tiga ADUN Pas Perlis menghantar akuan bersumpah (SD) Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, bagi menyatakan tidak lagi menyokong kepemimpinan Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.
Kemelut itu membawa kepada peletakan jawatan Mohd. Shukri sebagai Menteri Besar pada Khamis lalu secara sukarela atas alasan kesihatan.
Semalam, Raja Perlis berkenan melantik ADUN Kuala Perlis dari Bersatu, Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu, semalam.
Untuk rekod enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Keenam-enam Ahli Parlimen itu diberikan notis gugur keahlian pada 12 Jun 2024 apabila mereka gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti. – UTUSAN











