Kepentingan Melayu di Wilayah Persekutuan tetap terpelihara

Kepentingan Melayu di Wilayah Persekutuan tetap terpelihara

AHMAD Zahid Hamidi sewaktu berucap pada Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Kali Ke-3 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Agenda kepentingan orang Melayu tetap terpelihara walaupun jawatan Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dipegang oleh pemimpin etnik Cina.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, agenda kepentingan orang Melayu di Wilayah Persekutuan tidak seharusnya dibimbangkan kerana semua keputusan utama dibawa ke peringkat Jemaah Menteri.

Beliau berkata, Kabinet akan membuat pertimbangan berdasarkan beberapa ketetapan bagi memastikan kepentingan semua pihak terus terpelihara.

“Kita juga perlu melihat perkara ini bukan daripada sudut keprihatinan atau bangsa semata-mata kerana Kerajaan Madani memberi penekanan kepada keterangkuman dalam pelaksanaan semua agenda nasional termasuk di Wilayah Persekutuan.

“Sebagai contoh, walaupun sesuatu perkara berada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), agensi pelaksana sebenarnya ialah pihak berkuasa tempatan.

“Dalam konteks ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak sebagai agensi pelaksana. Datuk Bandar juga merupakan orang Melayu, manakala hal ehwal Wilayah Persekutuan juga diterajui oleh orang Melayu.

“Oleh itu, perkara sebegini harus dilihat melalui pendekatan yang menyeluruh dan holistik,” katanya selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Kali Ke-3 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan mengukuhkan kedudukan DAP selepas parti itu didakwa memberi ancaman untuk keluar daripada kerajaan.

Rombakan Kabinet tersebut menyaksikan pelantikan Hannah Yeoh daripada DAP sebagai Menteri bertanggungjawab Wilayah Persekutuan selain pengekalan jawatan Menteri KPKT di tangan seorang lagi pemimpin DAP yang menimbulkan kebimbangan pihak tertentu.

Ahmad Zahid berkata, pelantikan tersebut tidak wajar dinilai berdasarkan latar belakang kaum seseorang menteri atau timbalannya, walaupun menteri berkenaan berbangsa Cina dan daripada DAP.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman peribadinya dalam Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan, prestasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah kepemimpinan Hannah tidak pernah membezakan kaum dalam pelaksanaan tugas.

“Saya juga tidak melihat sebarang agenda perkauman dalam pengurusan kementerian tersebut.

“Timbalannya pula, walaupun berbangsa Cina, mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dari Sabah. Ini menunjukkan pertimbangan yang lebih luas, memandangkan selain Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya juga berada di bawah tanggungjawab kementerian berkenaan.

“Saya tidak fikir agenda nasional akan diketepikan. Insya-Allah, Perdana Menteri serta dua Timbalan Perdana Menteri termasuk saya sendiri akan bersama-sama bukan sahaja melakukan pemantauan, malah memastikan agenda nasional ini dilaksanakan sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN