Keluarga sejak awal syak mayat dalam beg ialah Suri Narudin

Keluarga sejak awal syak mayat dalam beg ialah Suri Narudin

AHLI Keluarga Allahyarham Suri Narudin tiba di Unit Forensik Hospital Rembau, hari ini. -UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Keluarga kepada Allahyarham Suri Narudin, 53, mengakui mereka telah mengesyaki lebih awal identiti mayat yang ditemukan di dalam beg di sebuah rumah di sini adalah wanita tersebut.

Anak saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mizan, 41, berkata, antara petunjuk awal adalah bagasi dan barangan keperluan milik arwah yang dikenal pasti oleh ahli keluarga.

“Sejak hari ketiga lagi kami memang sudah syak apabila melihat sendiri bagasi tersebut. Bagasi yang digunakan itu memang milik arwah Mak Su (Suri) dan ia menguatkan lagi andaian kami,” katanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Rembau di sini hari ini

Terdahulu media melaporkan identiti mayat wanita dalam beg yang ditemukan ditanam dibelakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Jalan Pedas-Linggi di sini pada 18 Disember lalu disahkan sebagai Suri Narudin, individu yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pengesahan identiti dibuat hasil pemeriksaan cap jari dan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan.

Sementara itu, menurut Mizan, keluarga berpuas hati dengan tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan kes berkenaan.

“Saya berpuas hati dengan usaha pihak polis yang bertindak cepat dan tangkas menjalankan siasatan. Hari ini kami dimaklumkan secara rasmi berhubung pengesahan identiti melalui cap jari dan DNA,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut berharap agar hukuman setimpal dapat dikenakan terhadap individu yang bertanggungjawab atas kematian arwah.

“Saya berharap keadilan dapat ditegakkan dan hukuman setimpal dikenakan atas apa yang telah dilakukan,” katanya.

Susulan kejadian ini, pihak polis berjaya menahan dua orang lelaki masing-masing di Melaka dan di Genting Sempah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×