GOMBAK: Tindakan membandingkan harga barangan di Selangor dengan negeri lain tidak wajar kerana ia perlu melihat daripada segi perbezaan taraf hidup, pendapatan dan struktur ekonomi yang tidak sama.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, faktor pendapatan lebih tinggi dan kos sara hidup di Lembah Klang perlu diambil kira meskipun diakui harga barangan di Selangor lebih mahal berbanding beberapa negeri lain.
“Jika kita bandingkan harga (barang) dengan negeri lain memang mahal tetapi perlu faham tentang taraf hidup, pendapatan dan sebagainya.
“Kalau bandingkan juga Selangor juga pendapatannya tinggi berbanding negeri lain. Tak boleh la bandingkan negeri lain dengan keadaan di Selangor dan di Lembah Klang,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Tani Taman Melawati, hari ini.
Terdahulu, Amirudin meluangkan masa menyantuni pengunjung Pasar Tani Taman Melawati sambil mengedarkan kalendar sempena tahun baharu kepada orang ramai.
Amirudin berkata, kadar inflasi semasa berada pada tahap terkawal antara 1.6 hingga 1.8 peratus memberi ruang kepada masyarakat untuk terus menikmati keperluan harian meskipun terdapat perbezaan harga antara negeri.
“Saya percaya dengan kadar inflasi yang terkawal, masyarakat masih boleh menikmati barangan keperluan walaupun harganya berbeza jika dibandingkan dengan tempat lain,” ujarnya.
Amirudin turut menegaskan peranan pasar tani dan pasar pagi dikendalikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam membantu menstabilkan harga barangan.
“Pasar tani menetapkan sebahagian harga dan tujuan utamanya adalah untuk mengelakkan harga melambung akibat orang tengah.
“Saya percaya sebahagian besar barangan yang dijual masih mampu dimiliki dan dinikmati oleh penduduk di Selangor,” katanya. – UTUSAN










