PETALING JAYA: Identiti mayat wanita yang ditemukan dalam sebuah beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Jalan Pedas-Linggi di Rembau, Negeri Sembilan pada 18 Disember lalu masih belum diketahui.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pengesahan identiti hanya boleh dibuat melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan keputusan mengenainya belum dapat dipastikan.
“Keadaan mayat yang sudah mereput menghalang proses pengecaman secara langsung dan menyebabkan kaedah DNA menjadi satu-satunya pendekatan bagi pengesahan identiti.
“Keluarga sudah memberikan sampel dan untuk maklumat lebih terperinci berkaitan proses itu boleh dirujuk kepada pihak hospital atau Jabatan Kimia. Tempoh berapa lama (keputusan ujian DNA) itu kami tidak dapat pastikan dan kini menunggu keputusan daripada pihak hospital katanya,” ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada identiti mayat wanita berkenaan adalah usahawan, Suri Narudin. 53, yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor baru-baru ini.
Sementara itu, Muhammad Idzam berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan menyeluruh dalam kes berkenaan termasuk terhadap dua individu yang telah ditahan termasuk hubungan mangsa dengan suspek utama.
“Hubungan mangsa dengan suspek setakat ini kita belum dapat keterangan lagi. Kami tidak dapat mengesahkan sama ada mereka adalah suami isteri sebab tiada sijil atau dokumen yang menyokong hubungan itu. Jadi masih dalam siasatan.
“Siasatan akan dijalankan daripada pelbagai sudut bagi memastikan individu yang terlibat dapat didakwa, sekali gus mangsa memperoleh keadilan. Sama ada terdapat individu lain akan ditahan atau terlibat bergantung kepada maklumat dan siasatan sedang dilakukan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan dua lelaki telah ditahan reman bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Rembau. – UTUSAN









