SEREMBAN: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita di dalam sebuah beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Jalan Pedas-Linggi, Rembau, semalam.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan di Melaka pada petang semalam.
“Permohonan reman terhadap lelaki berkenaan telah dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibenarkan selama tujuh hari bermula semalam hingga 25 Disember depan.
“Bedah siasat sedang dijalankan hari ini di Hospital Rembau bagi mengenal pasti identiti mangsa serta punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.
Semalam, media melaporkan kenyataan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad iaiyu penemuan mayat itu mungkin mempunyai kaitan dengan kehilangan seorang wanita berusia 53 tahun yang dilaporkan di Balai Polis Ampang, Ampang Jaya.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN











