Guna gelaran 'Dr' tidak berdaftar buka ruang salah guna

Guna gelaran ‘Dr’ tidak berdaftar buka ruang salah guna

THIRUNAVUKARASU RAJOO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan gelaran ‘Dr’ tanpa didaftarkan dibimbangi membuka ruang penyalahgunaan gelaran atau kelayakan perubatan yang boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai atau mengkompromi keselamatan pesakit.

Kebimbangan itu termasuklah penggunaan gelaran ‘Dr’ oleh graduan perubatan yang tidak didaftarkan sebagai pengamal perubatan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, di dalam era di mana maklumat kesihatan dikongsikan secara meluas di media sosial menjadikan hanya pengamal perubatan berdaftar dan berkelayakan sahaja yang bercakap atau bertindak dalam kapasiti perubatan berkaitan isu kesihatan.

Katanya, walaupun gelaran akademik ‘Dr’ boleh digunakan oleh individu yang telah menamatkan pengajian dalam bidang perubatan tetapi penting untuk ditegaskan bahawa gelaran tersebut tidak memberikan hak kepada mereka untuk mengamalkan perubatan atau membawa maksud mereka berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Akta Perubatan 1971, di bawah Seksyen 33, memperuntukkan bahawa adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana individu yang tidak berdaftar atau tidak dikecualikan di bawah akta tersebut untuk menggunakan nama, gelaran atau perihalan yang boleh mengelirukan orang awam sehingga mempercayai bahawa mereka berkelayakan atau diberi kuasa untuk mengamalkan perubatan atau pembedahan.

“Secara ringkasnya, isu ini bukan terletak pada gelaran itu sendiri tetapi pada konteks penggunaannya,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, MMA mengiktiraf peranan MMC sebagai badan berkanun mengawal selia amalan perubatan di Malaysia namun penting untuk mereka memberikan penjelasan dari sudut profesional dan etika.

Tambahnya lagi, apabila gelaran ‘Dr.’ digunakan individu tidak berdaftar dalam persekitaran perubatan atau berkaitan kesihatan, secara fizikal atau pun maya, khususnya dalam penyampaian komunikasi awam berkaitan kesihatan, nasihat, sokongan atau dalam memberikan rawatan, terdapat risiko orang awam akan terkeliru dan menyangka individu tersebut berdaftar secara sah.

Katanya, perlu ditekankan bahawa tindakan menyalahi undang-undang sedemikian berpotensi mendatangkan kemudaratan kepada orang ramai.

“Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan MMC, kami amat menggesa orang ramai untuk merujuk laman sesawang MMC bagi menyemak sama ada seseorang doktor itu berdaftar dan dilesenkan untuk mengamalkan perubatan di Malaysia.

“Orang awam juga mempunyai hak untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan terhadap individu yang memberikan pandangan, nasihat atau perkhidmatan penjagaan kesihatan tanpa didaftarkan dan dilesenkan untuk mengamalkan perubatan di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, MMA juga menggesa semua pihak termasuk graduan perubatan, pengamal media, promoter produk dan pencipta kandungan digital supaya bertindak secara bertanggungjawab, telus dan beretika dalam penggunaan gelaran profesional dalam konteks kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN