PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB) dan XPENG, sebuah syarikat mobiliti berasaskan AI terkemuka, menjalin kerjasama strategik untuk melancarkan pengeluaran kenderaan elektrik pintar (EV) yang disesuaikan secara tempatan di Melaka.
Melalui kerjasama itu, XPENG akan memanfaatkan kepakaran pengeluaran tempatan EPMB yang luas, kapasiti pengeluaran terbukti dan pengetahuan pasaran mendalam bagi menghasilkan EV pintar canggih yang disesuaikan dengan keperluan pengguna Malaysia dan ASEAN.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, perikatan strategik itu menggabungkan lebih daripada empat dekad kecemerlangan EPMB dalam pembuatan automotif dan pengetahuan tempatan dengan inovasi kepintaran dan elektrifikasi canggih XPENG.
“Bersama-sama, kami komited untuk menyediakan EV pintar berkualiti tinggi kepada pengguna Malaysia dan menyokong aspirasi industri lestari negara,” katanya dalam kenyataan.
Pengeluaran secara tempatan akan membolehkan XPENG memperkukuh integrasinya dalam pasaran serantau, meningkatkan keupayaan responsif dan mengukuhkan daya saingnya.
Kerjasama itu juga selaras dengan visi kerajaan untuk ekonomi hijau dan pembangunan keupayaan pembuatan bertaraf tinggi, sekali gus dijangka menyumbang kepada peningkatan ekosistem industri kenderaan tenaga baharu (NEV) di Malaysia serta mewujudkan peluang pekerjaan mahir di peringkat tempatan.
Sementara itu, Naib Presiden XPENG, James Wu berkata, menubuhkan pengeluaran tempatan di Malaysia merupakan pencapaian penting dalam strategi global XPENG dan menekankan komitmen jangka panjang mereka terhadap rantau ASEAN.
“Keupayaan terbukti EPMB dan visi yang selari menjadikan mereka rakan kongsi yang ideal.
“Inisiatif ini membolehkan kami lebih dekat dengan pelanggan, mempercepat keupayaan respons pasaran dan secara sistematik memperkenalkan teknologi pintar, seterusnya memacu misi kami ‘Demokratisasi Teknologi’ di peringkat global,” ujarnya.
XPENG telah berkembang dengan pesat di peringkat global. Dari Januari hingga November 2025, penghantaran luar negara syarikat mencapai 39,773 unit, mencatatkan peningkatan 95 peratus dari tahun sebelumnya.
Rangkaian jualan dan perkhidmatan pula kini merangkumi 52 negara dan wilayah di seluruh dunia dengan 321 cawangan antarabangsa.
Dalam pada itu, projek pengeluaran di Malaysia itu akan disinergikan dengan operasi XPENG sedia ada di Eropah dan pasaran Asia-Pasifik lain, membentuk ekosistem terintegrasi yang merangkumi pengeluaran tempatan, jualan, perkhidmatan pengecasan dan operasi pengguna untuk mempercepat penembusan pasaran yang mendalam. – UTUSAN








