CAMERON HIGHLANDS: Pembangunan berterusan terutama yang berskala besar, tidak terancang dan di luar kawalan menyebabkan suhu di kawasan tanah tinggi ini semakin panas.
Ini terbukti apabila dalam tempoh 10 tahun, suhu purata di Cameron Highlands telah meningkat sebanyak empat darjah celsius.
Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A. Dilip Martin berkata, sekitar tahun 2015 suhu purata yang direkodkan di sini adalah 20 darjah Celsius dan kini ia meningkat kepada 24 darjah Celsius.
Katanya, sekiranya pembangunan itu dibiarkan berterusan dan ti dak dikawal, suhunya dijangka meningkat lebih tinggi dan dikhuatiri ia akan hilang tarikan sebagai destinasi pelancongan beriklim sederhana di negara ini.
Selain itu katanya, ia juga terdedah kepada risiko bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya.
Martin berkata, perubahan suhu paling ketara dapat dilihat dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini apabila banyak tanah baharu dibuka untuk pembangunan hingga capai tahap terlalu padat, sekali gus mengubah suhu di kawasan tanah tinggi ini.
“Ya, memang benar pembukaan tanah menyebabkan perubahan suhu di sini. Semasa musim hujan, suhu masih rendah, tetapi pada musim kering panasnya sangat membahang.
“Dahulu, suhu paling rendah adalah 13 hingga 14 darjah Celsius pada sebelah malam, namun kini suhu siang boleh mencapai 25 hingga 27 darjah Celsius,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perubahan suhu menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pelancong yang mengunjungi kawasan itu dan ia dilihat jelas dalam komen-komen pelancong di media sosial yang dikatakan panas berbanding sebelum ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa semua projek pembangunan di kawasan hutan melebihi 52 ekar di Cameron Highlands perlu dihentikan serta-merta bagi mengelak risiko bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.
Pembangunan di kawasan tanah tinggi itu kini mencapai tahap terlalu padat, sekali gus menuntut tindakan tegas kerajaan untuk menghentikan projek berskala besar di lokasi sensitif.
Pekan Brinchang disebut sebagai contoh pembangunan bercampur yang terlalu banyak sehingga mengurangkan suasana kehijauan kawasan tersebut.
Kawasan lain seperti Kea Farm dan Tringkap juga kini semakin padat dengan pembangunan termasuk lot perniagaan, sekali gus menimbulkan isu kesesakan trafik kerana kurangnya kemudahan tempat letak kenderaan.
Reach, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kelestarian alam sekitar, telah beroperasi sejak 24 tahun lalu bagi membantah pembangunan yang tidak memberi manfaat kepada Cameron Highlands.
Mei lalu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan dukacita melihat kemusnahan alam sekitar di kawasan itu sehingga Lembah Bertam kini ibarat ‘hutan plastik’.
Baginda menyifatkan keadaan itu menyedihkan kerana tahap penerokaan tanah telah mengubah wajah semula jadi kawasan tersebut dan menyeru semua pihak agar lebih peka serta bertanggungjawab.
Mac lalu, Utusan Malaysia mendedahkan kebimbangan penduduk Cameron Highlands mengenai pembinaan bangunan tinggi, pembukaan tanah besar-besaran untuk pertanian, serta pengembangan infrastruktur yang berlebihan, yang dibimbangi memberi kesan buruk terhadap bekalan air di kawasan itu.
Dengan suhu yang semakin meningkat dan pembangunan yang tidak terkawal, pakar menegaskan langkah segera diperlukan untuk memulihkan dan mengekalkan keistimewaan Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan tanah tinggi yang terkenal di negara ini.
“Cameron Highlands tidak memerlukan pembangunan keterlaluan, sebaliknya tanah tinggi itu sepatutnya dikekalkan secara semula jadi berikutan pelancong datang ke pusat peranginan itu bukan mahu melihat pembangunan tetapi keindahan dan keistimewaan suhunya yang sejuk,” katanya. – UTUSAN










