Pembangunan di kawasan Cameron Highlands perlu dinilai semula

Pembangunan di kawasan Cameron Highlands perlu dinilai semula

KERJA-KERJA pembersihan tanah runtuh dijalankan di laluan utama ke kawasan perumahan Puncak Arabella di Tanah Rata, Cameron Highlands hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Kerajaan perlu menilai semula semua projek pembangunan di kawasan bukit dan zon sensitif alam sekitar di tanah tinggi ini susulan tragedi tanah runtuh di Puncak Arabella, Tanah Rata semalam.

Presiden Persatuan Kese­daran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A. Dilip Martin berkata, insiden itu wajar dijadikan iktibar agar kelulusan pembangunan di kawasan berisiko tinggi tidak dibuat sewenang-wenangnya.

Katanya, setiap kelulusan perlu berpandukan garis panduan sedia ada dan bukannya bergantung kepada budi bicara, khususnya bagi projek di kawasan yang memiliki ketinggian dan kecerunan melebihi 45 darjah.

“Kerajaan perlu meneliti semula semua projek pembangunan yang telah diluluskan dan yang sedang menunggu kelulusan bagi memastikan setiap projek benar-benar selamat.

“Sebagai contoh, projek Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Sungai Burung turut mengalami tanah runtuh serius meskipun laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA), Kebenaran Merancang dan ulasan teknikal telah diluluskan.

“Punca utama kepada kejadian itu disebabkan kegagalan kontraktor mematuhi syarat dan prosedur kerja yang telah ditetapkan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya telah berkali-kali mengingatkan agensi kerajaan supaya menghentikan semua kerja tanah ketika musim monsun kerana bimbang risiko kejadian tanah runtuh, namun teguran itu sering tidak diendahkan.

“Insiden di Puncak Arabella perlu menjadi amaran kepada kerajaan agar lebih tegas menilai setiap kelulusan pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar, dengan mengutamakan keselamatan penduduk dan kestabilan tanah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan berlaku runtuhan tanah sekitar pukul 8.30 malam di lereng bukit berhampiran Blok C apartmen tersebut, sekali gus menyebabkan laluan utama ke kawasan perumahan itu terputus.

Dianggarkan kira-kira 700 penduduk terputus hubungan namun kejadian itu tidak melibatkan mangsa tertimbus. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN